MAB bantu Harimau Malaya terbang tinggi, jadi penaja utama FAM 3 tahun


  • Podium
  • Khamis, 30 Mei 2024

Perjanjian penajaan FAM bersama MAB ditandatangani oleh Noor Azman (depan, kanan) dan Dersenish (depan, kiri). — Facebook/FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) terus terbang tinggi mendapatkan rakan kongsi apabila mengumumkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) sebagai penaja utama skuad Harimau Malaya dan badan induk berkenaan.

Perjanjian penajaan sebagai penaja utama skuad Harimau Malaya dan FAM itu adalah bagi tempoh tiga tahun bermula Januari 2024 hingga Disember 2026 dengan majlis pengumuman dilangsungkan di Hotel Sama-Sama, KLIA Sepang, pada Isnin.

Perjanjian penajaan FAM bersama MAB itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan Ketua Pegawai Komersial Penerbangan MAB, Dersenish Aresandiran, disaksikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin serta Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAB, Ahmad Luqman Mohd Azmi.

BACA LAGI: Isu surat layang: FAM sahkan siasatan SPRM tak dilanjutkan, akan tubuhkan jawatankuasa dalaman

BACA LAGI: Perak dipetik lawan Harimau Malaya, JDT dan TFC patut jadi 'sparring partner'

Susulan kolaborasi bersama syarikat penerbangan nombor satu tanah air itu, Hamidin menzahirkan ucapan terima kasih kepada MAB atas sokongan yang telah diberikan sejak 2019.

“Jalinan kerjasama di antara FAM dan MAB bukan sahaja mencerminkan kesetiaan tetapi ia turut menunjukkan dedikasi serta komitmen mereka (MAB) terhadap arena bola sepak negara.

“Ia juga memberi mesej penting kepada penyokong-penyokong skuad kebangsaan di luar sana bahawa FAM bukan sahaja mampu memberikan nilai tambah kepada barisan penaja-penajanya malah dapat memberi impak yang positif terhadap sektor ekonomi negara.

“Saya percaya dengan kehadiran MAB sebagai penaja utama FAM dan skuad bola sepak kebangsaan, pelbagai kejayaan akan dapat digapai bersama.

"Terima kasih sekali lagi kepada MAB dan semoga jalinan kerjasama ini akan memacu dua organisasi ini ke arah kecemerlangan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan FAM pada Khamis.

harimau malaya

FAM dan MAB sudah menjalin kerjasama sejak 2019. — Facebook/FAM

Sementara itu, Ahmad Luqman turut berbesar hati dapat meneruskan kerjasama bersama badan induk berkenaan dengan MAB turut melihat ia juga adalah satu bentuk sokongan kepada skuad Harimau Malaya.

“Sebagai syarikat penerbangan kebangsaan, kami amat berbesar hati dapat meneruskan kesinambungan usaha dan tanggungjawab kami dalam membawa bendera Malaysia ke arena antarabangsa selain menyokong pembangunan sukan dalam negara.

“Kami amat berbangga kerana dapat terus menyalurkan khidmat kami kepada skuad bola speak kebangsaan sekali gus memberi sokongan berterusan kepada pihak FAM melalui kerjasama yang tertera di bawah penajaan yang telah masuk tahun keenam secara berturut-turut dan berbesar hati untuk meneruskan kerjasama ini untuk tiga tahun lagi sehingga penghujung tahun 2026,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram