Kapten Perak harumkan nama sekolah di Kedah, raih pujian cemerlang SPM


  • Podium
  • Jumaat, 31 Mei 2024

Mohamad Nasrudin (kiri) aktif bermain buat pasukan Perak IV sebagai tonggak pertahanan. — Facebook

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini meninggalkan pelbagai reaksi kepada semua lapisan masyarakat dan rata-ratanya akan memberi tumpuan kepada calon dengan keputusan cemerlang.

SPM 2023 menyaksikan seramai 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang A+, A dan A- dalam setiap mata pelajaran menjadikannya tahun lebih baik apabila merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) 4.60 berbanding tahun lepas.

Dalam kalangan yang mendapat keputusan cemerlang itu pasti keputusan pelajar bergelar atlet juga akan mendapat perhatian lebih susulan ramai ingin mengetahui keseimbangan mereka dalam menuntut ilmu.

BACA LAGI: Tiada istilah SBP elit, tempoh pelantikan pengganti pengetua bergantung pelbagai faktor — KPM

BACA LAGI: Perak FC, Yusri Che Lah bakal tuai manfaat besar lawan Harimau Malaya

Tidak mengabaikan pelajaran mereka, terdapat beberapa nama daripada kalangan atlet tanah air yang mencatatkan keputusan terbilang pada SPM tahun ini dan antaranya ialah pemain muda Perak FC.

Dalam satu hantaran di laman Instagram, ketua pasukan Perak FC IV, Mohamad Nasrudin Ahmad Hayeekaji dilaporkan berjaya mendapat 9A dalam peperiksaan SPM 2023 meskipun jadual harian pemain muda itu padat dengan latihan bola sepak bagi saingan skuad Piala Belia.

“Tahniah buat ketua pasukan Perak FC IV, Mohamad Nasrudin Ahmad Hayeekaji kerana berjaya mendapat 9A dalam Peperiksaan SPM 2023.

NAS

“Ini merupakan satu contoh yang terbaik buat pemain bola sepak, bukan saja cemerlang di atas padang namun cemerlang juga di dalam akademik. Semoga terus maju jaya kami ucapkan,” ucapan tahniah dari Perak FC pada Jumaat.

Difahamkan, Mohamad Nasrudin merupakan bekas atlet murid dari SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Jitra, Kedah dan sememangnya antara pelajar yang mengharumkan nama sekolah berkenaan di kejohanan sukan.

Kini, Mohamad Nasrudin aktif bermain buat pasukan Perak IV sebagai tonggak pertahanan dengan kini skuad muda The Bos Gaurus menghuni kedudukan kelima Kumpulan B bagi saingan Piala Belia 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram