Perak FC, Yusri Che Lah bakal tuai manfaat besar lawan Harimau Malaya


  • Podium
  • Khamis, 30 Mei 2024

Skuad TBG bernasib baik apabila dipilih sebagai lawan untuk aksi persahabatan dengan Harimau Malaya. — Facebook/Perak FC

KEKANGAN masa menyaksikan Harimau Malaya gagal mendapatkan mana-mana skuad kebangsaan untuk mengadakan aksi persahabatan menjelang dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan.

Meskipun terdapat usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk merancangnya, keengganan masing-masing menyaksikan pendekatan berbeza terpaksa diambil persatuan berkenaan.

Berdasarkan khabar angin ketika ini, terdapat kemungkinan besar skuad bimbingan Kim Pan-gon itu akan berdepan Perak FC dengan perkara berkenaan kini tular di media sosial.

BACA LAGI: Perak dipetik lawan Harimau Malaya, JDT dan TFC patut jadi 'sparring partner'

BACA LAGI: JDT, Terengganu dipetik jadi lawan sparring Harimau Malaya sebelum aksi kelayakan

WhatsApp Image 2024-05-29 at 10.59.07

Khabar angin mengatakan skuad TBG akan berdepan Harimau Malaya pada Jumaat. X/PerakTheYob

Pemilihan tersebut sudah tentu menimbulkan tanda tanya memandangkan kelab Utara tanah air terbabit berada di kedudukan kelapan liga dengan hanya tiga mata dimiliki mereka.

Bagaimanapun, dengan gaya permainan dipamerkan anak-anak buah Yusri Che Lah cukup menarik, keputusan memilih skuad The Bos Gaurus (TBG) sedikit sebanyak membuatkan ramai penyokong berpuas hati.

Malah, pengikut setia Perak FC turut beranggapan keputusan Harimau Malaya mengadakan aksi persahabatan itu turut membawa manfaat buat pasukan berkenaan.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga sebab perlawanan itu membawa kelebihan buat skuad TBG yang masih belum berada dalam prestasi terbaik ketika ini.

1. Pendedahan awal skuad muda

Melihat kepada pasukan berkenaan ketika ini, kepercayaan penuh masih diletakkan Yusri terhadap 'ubi muda' dengan Aiman Yusni, Nur Azfar Fikri dan Shivan Pillay merupakan sebahagian daripadanya.

Pengalaman berdepan skuad kebangsaan sudah tentu akan menyuntik semangat dan motivasi buat pemain muda, lebih-lebih lagi dalam menaikkan kesungguhan mereka dalam Liga Super.

442509721_1157799351959966_2160352526731738007_n

Peluang berdepan Harimau Malaya sudah tentu menaikkan semangat. Facebook/FAM

Meskipun ia hanya satu aksi persahabatan, bakat-bakat tersebut sudah tentu memasang azam untuk beraksi dalam skuad kebangsaan satu hari nanti pada tahun-tahun akan datang.

Selain itu, penyokong juga pastinya bergembira untuk melihat kesungguhan sedemikian kerana sudah terlalu lama sejak pemain kelab itu mewakili Harimau Malaya.

Tetapi, sekiranya Yusri mengambil keputusan meletakkan kesebelasan utama terbaik, hasrat berkenaan tidak akan tercapai dengan hanya sebahagian daripada mereka meraih pengalaman itu.

2. Kekalkan kecergasan pemain

Ketika ini, saingan Liga Super diberhentikan sementara untuk memberi laluan kepada jendela perpindahan FIFA, termasuk saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, termasuk yang dihadapi Harimau Malaya.

Jadual sedemikian sudah tentu membuatkan rentak permainan sedikit terganggu, termasuk skuad TBG yang baru sahaja mencatatkan kemenangan ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC.

442486221_462035846376796_3795754355416174733_n

Pemain skuad TBG akan berpeluang menentukan kecergasan masing-masing. Facebook/Perak FC

Dalam menyelesaikan isu berkenaan, rata-rata pasukan mengambil kesempatan dengan mengadakan perlawanan persahabatan untuk membantu pemain berada di tahap terbaik.

Oleh itu, perlawanan menentang Harimau Malaya hanya akan membawa manfaat buat pemain Perak FC untuk mengelakkan isu kecederaan terus dialami musim ini.

Di samping itu, Yusri turut berpeluang mencari pendekatan baharu untuk pasukannya menjelang aksi Piala FA menentang Terengganu FC di tempat lawan kira-kira dua minggu lagi.

3. Bantu bintang baharu sesuaikan diri

Setakat tiga aksi Liga Super, hanya beberapa pemain baharu, terutamanya import dapat menyesuaikan diri dengan gaya permainan dan rentak arena bola sepak tempatan.

Penyerang Korea Selatan, Lee Tae-min dan pemain sayap, Tommy Mawat Bada merupakan dua rekrut yang sudah beraksi dengan baik sehingga penyokong mula berpuas hati dengan sumbangan mereka.

Tetapi, sekiranya skuad TBG mahu berada di tahap lebih baik, kesemua pemain baharu pasukan perlu selesa dengan taktikal Yusri, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Luiz Henrique Motta, Clayton dan Adilet Kanybekov merupakan antara import yang masih bergelut sementara Haziq Nadzli belum memberikan aksi terbaik setakat ini.

Jadi, dengan Harimau Malaya mampu memberikan ujian hebat, pemain-pemain berkenaan sudah tentu akan meraih manfaat untuk terus merasai permainan sebenar Perak FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram