MAJIKAN di negara ini diwajibkan mencarum setiap pekerja dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk memastikan kebajikan modal insan tersebut terjamin pada masa hadapan.
Syarat tersebut dilaksanakan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) yang mewajibkan majikan mencarum sekiranya mempunyai walaupun seorang pekerja.
Meskipun setiap tahun PERKESO membuat pemeriksaan ke atas majikan menerusi Ops Kesan dan Bulan Pemutihan, tetapi masih ada majikan yang memandang enteng tentang perkara itu.
BACA LAGI: Iktibar kes Faisal Halim, sut robot HAL antara manfaat jika kelab bola sepak mencarum PERKESO
Tempoh masa untuk majikan mendaftar dengan PERKESO hingga Jumaat ini. — PERKESO
PERKESO juga sebelum ini ada mengeluarkan notis melalui program sama dan Bulan Pemutihan kali ke-15 kepada para majikan selama 30 hari bermula awal Mei hingga Jumaat ini bagi yang masih belum mencarum.
Kegagalan majikan mendaftarkan perusahaan dan pekerja juga merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan pengkompaunan serta pendakwaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed pada 15 Mei lalu berkata, mana-mana majikan yang gagal berbuat demikian boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Namun, menurut Ketua Bahagian Caruman dan Penguatkuasaan PERKESO, Jazlina Alias, terdapat beberapa faktor yang mendorong masalah itu terus berlanjutan.
Berdasarkan pemerhatian dan tinjauan dijalankan PERKESO ke atas majikan yang gagal atau lewat mendaftar, kebanyakan mereka sering memberi alasan tidak tahu tentang kewajipan itu.
Para majikan diwajibkan untuk mencarum pekerjanya dengan PERKESO. — The Star
Bukan itu sahaja, ada juga memberi alasan bahawa tiada pekerja pentadbiran yang boleh menguruskan pendaftaran PERKESO.
"Terdapat majikan yang memaklumkan tidak mengetahui bahawa pekerja sambilan, pekerja berstatus kontrak atau dalam tempoh percubaan perlu didaftar dan mencarum dengan PERKESO," katanya.
Jazlina turut menjelaskan, alasan lain sering digunakan adalah pekerja tidak mahir menggunakan portal pendaftaran PERKESO, syarikat mempunyai masalah kewangan, lokasi pejabat PERKESO jauh daripada premis majikan dan syarikat sudah mempunyai polisi insurans luar untuk pekerja.
Rentetan itu, beliau menegaskan kepada para majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja atau lebih perlu mendaftar dan membayar caruman setiap bulan kepada PERKESO.
Katanya lagi, semua pekerja yang layak perlu didaftar tanpa mengira umur mereka.
"Objektif utama Ops Kesan dilaksanakan adalah untuk mengesan majikan yang layak berdaftar tetapi tidak melakukannya.
"Operasi berkenaan juga merupakan aktiviti lawatan pemeriksaan door-to-door oleh Pegawai Penguatkuasaan PERKESO di seluruh negara agar memastikan pematuhan majikan terhadap Akta yang ditadbir oleh PERKESO," tambahnya.
Majikan yang gagal medaftar dan mencarumkan pekerjanya boleh didenda dan didakwa di mahkamah. — Gambar hiasan
Hal ini kerana, berdasarkan kepada statistik Ops Kesan yang dijalankan mendapati, sekitar 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan majikan dilawati tidak berdaftar dengan PERKESO.
Lebih membimbangkan apabila kebanyakan majikan terbabit mempunyai bilangan pekerja yang sedikit.
Justeru, PERKESO mengingatkan pekerja agar mengambil langkah proaktif dengan mengunjungi pejabat PERKESO dari semasa ke semasa atau membuat semakan caruman melalui Aplikasi Prihatin PERKESO.
Untuk rekod, majikan tidak mencarum pekerja atau mendaftar di bawah PERKESO meningkat sebanyak 21.73 peratus pada 2023 berbanding 18.74 peratus pada 2022.
Jumlah terbabit juga direkodkan melalui Ops Kesan yang dijalankan di seluruh negara sepanjang 2023.
Orang ramai boleh memuat turun e-newsletter PERKESO dengan melayari laman web https://www.perkeso.gov.my/e-newsletter.html bagi mengetahui perkembangan kempen terkini agensi itu yang menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan pencarum. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram