Trauma kenangkan episod hitam, TFC bantu Kacang kembali bangkit lepas 8 bulan


  • Podium
  • Khamis, 30 Mei 2024

Syafik (kiri) juga bermain bersama Terengganu II untuk meraih minit permainan dan mengembalikan prestasinya. — Facebook/TFC

PENYERANG sayap Terengganu FC (TFC), Muhammad Syafik Ismail mengakui tidak mudah untuk melawan perasaan trauma apabila beraksi di atas padang pada musim ini selepas mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada tahun lalu.

Pemain yang berusia 24 tahun berkenaan disahkan mengalami kecederaan ACL tahap tiga pada Mei tahun lalu selepas cedera di bahagian lutut pada perlawanan Piala FA menentang Kelantan FC.

Syafik yang juga dikenali sebagai Kacang, berkata, tidak mudah untuk dirinya mengharungi episod hitam tersebut lebih-lebih lagi dia terpaksa melupakan kesemua aksi Liga Malaysia musim lalu dan memerlukan lapan bulan untuk melalui proses pemulihan dari kecederaan berkenaan.

BACA LAGI: 'Saya ada lihat sesuatu padanya', Razman Roslan puas hati nama Adib Raop tersenarai

BACA LAGI: Pan-gon dalam misi cari pengganti Arif Aiman, Faisal Halim

Selepas melalui pembedahan dan proses pemulihan, Syafik atau pemain yang mesra dengan sapaan Kacang itu tersenarai sebagai pemain gantian dalam tiga aksi awal Liga Super pada musim ini.

Pemain yang pernah beraksi bersama Terengganu II berkenaan mengakui teruja dapat kembali beraksi bersama pasukan sambil mendapatkan semula keyakinannya di atas di padang.

Tambah Syafik lagi, setiap kali Ketua Jurulatih Terengganu FC Tomislav Steinbruckner, memberi peluang kepadanya untuk beraksi musim ini, dia harus berdepan dengan trauma tersebut dan berani untuk bermain bola sepak seperti biasa.

“Secara jujurnya, trauma tersebut saya rasai sehingga kini namun saya harus berdepan dan kembali bermain untuk karier saya," katanya memetik laporan dari Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Anak jati kelahiran Marang ini turut berkongsi, tempoh pemulihan selama lapan bulan yang dia perlukan untuk sembuh dari kecederaan ini adalah satu momen yang sangat mencabar bagi dirinya.

syafik

Syafik mengalami kecederaan ACL pada musim lepas. — FlashSukan

Selain bergelut dengan kecederaan yang menimpanya pada ketika itu, Syafik juga bertarung dengan kerisauan perjalanan karier bola sepaknya kerana kecederaan ACL ini memerlukan masa untuk pulih.

“Sepanjang lapan bulan itu, pelbagai rawatan yang saya terima termasuk pembedahan dan fisioterapi.

“Namun, saya berjaya bangkit dengan sokongan ibu, isteri, keluarga mentua dan rakan-rakan yang banyak memberi sokongan kepada saya untuk melalui hari sukar ini,” kongsi pemain sayap kiri itu.

Menurutnya, Terengganu selaku majikannya banyak membantu mengembalikan prestasinya sehingga Syafik dapat kembali beraksi pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram