PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee enggan berasa selesa dengan kedudukan ketiga dalam saingan Liga Super yang merekodkan tujuh mata daripada tiga perlawanan sebelum memasuki kalender antarabangsa
Anak-anak buah Kim Swee bangkit dari ketinggalan untuk mengenepikan seteru mereka, Kuching City FC 2-1 dalam perlawanan derbi Borneo mereka di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.
Skuad The Cats mendapat gol pertama pada minit ke-64 menerusi penyerang Brazil, Pedro Henrique tetapi pasukan tuan rumah bangkit dengan menewaskan Kuching City menerusi penyerang, Darren Lok (minit ke-75) dan pemain sayap, Jafri Firdaus Chew (85').
BACA LAGI: Jelmaan Faisal Halim antara 4 pemain muda Selangor, Sabah berpeluang tunjuk taring di Indonesia
BACA LAGI: Dua gol klinikal import TBG bikin Sang Kenari gigit jari di laman sendiri
Kim Swee gembira melihat pasukannya memperoleh kemenangan kedua mereka pada musim ini, tetapi mengingatkan pasukannya bahawa mereka harus lebih agresif apabila musim bersambung.
“Saya harap kemenangan ini akan memacu anak-anak buah saya untuk menjadi lebih baik selepas rehat, terutamanya dari segi konsistensi,” katanya.
Semasa kalender perlawanan antarabangsa Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sabah akan beraksi dalam Kejohanan Antarabangsa RCTI Jakarta Indonesia RCTI Premium Sports bermula 30 Mei hingga 2 Jun ini bersama Persija Jakarta, PSIS Semarang dan Selangor.
“Kami akan menggunakan kejohanan ini untuk menguji lebih ramai pemain yang masih belum menjadi pemain tetap dalam pasukan," tambahnya.
Kim Swee akan mempertaruhkan pemain yang kurang mendapat minit permainan di saingan liga. — Facebook/SabahFC
Sementara itu, jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menyatakan bahawa pasukannya hanya bernasib malang apabila tewas dalam perlawanan derbi Borneo.
“Kami tidak layak kalah. Kami menyukarkan Sabah dan kami hampir menewaskan mereka tetapi kami perlu menerima keputusan ini.
“Saya harap kami boleh memperbaiki beberapa perkara untuk menjadi lebih baik apabila rehat antarabangsa tamat," kata pengendali kelahiran Singapura berkenaan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram