KEM Harimau Malaya mengharungi detik yang cukup mencabar menjelang dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei Jun nanti.
Sebelum ini, Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon terpaksa mengenepikan empat pemain Harimau Malaya iaitu Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Azam Azmi Murad dan Romel Morales daripada senarai awal berikutan mengalami kecederaan.
Keadaan menjadi lebih buruk lagi apabila pengendali kelahiran Korea Selatan itu mendedahkan bahawa kem Harimau Malaya kehilangan dua lagi penyerang utama iaitu Syafiq Ahmad dan Darren Lok kerana turut mengalami masalah kecederaan.
BACA LAGI: Zhafri Yahya ganti Syafiq Ahmad tercedera, ramai sangka sepatutnya Sumareh, Aguero atau Wan Zack
BACA LAGI: Faisal Halim jalani pemulihan di lokasi rahsia atas faktor keselamatan
Skuad kebangsaan berdepan situasi sukar apabila kehilangan khidmat Faisal Halim dan Arif Aiman menjelang dua perlawanan penting berdepan Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei. — Facebook/FAM
Ia sekali gus menyaksikan tugas sukar perlu dihadapi Pan-gon dalam mencongak kesebelasan terbaik untuk dua perlawanan penting itu.
Pan-gon mengakui keadaan itu akan menjejaskan rancangannya dalam aksi berdepan Republik Kyrgyz di Bishkek (6 Jun) dan Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur (11 Jun).
Malaysia perlu memenangi dua baki perlawanan tersebut sambil berharap Oman menewaskan Republik Kyrgyz di Muscat untuk mencerahkan peluang mereka mencipta sejarah dengan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 buat kali pertama dan mengesahkan tempat awal dalam Piala Asia 2027.
“Ini adalah situasi yang sukar kerana kami menghadapi masalah dalam serangan. Tetapi kami masih mempunyai pemain yang mampu melaksanakan tanggungjawab, jadi kami akan mencari pemain yang paling sesuai dan terbaik untuk komposisi kami.
“Kami tidak akan berputus asa, kami akan terus memandang ke hadapan dan kekal positif untuk berjuang atas nama Malaysia,” kata Pan-gon.
Pan-gon tidak menyembunyikan hakikat bahawa ketiadaan pemain berbisa seperti Faisal dan Arif Aiman sememangnya satu kerugian besar tetapi menegaskan dalam bola sepak tidak bergantung kepada beberapa pemain sahaja.
“Sudah tentu kehadiran dua pemain ini akan menambahkan lagi ketajaman jentera serangan kami tetapi bola sepak adalah sukan yang berbeza. Kami tidak hanya bergantung kepada seorang atau dua pemain.
“Kami bermain sebagai satu pasukan dan mencari jalan untuk menjadi kuat. Saya percaya pemain lain mempunyai kualiti yang sama tetapi motivasi mereka lebih tinggi.
"Ini akan memberi mereka peluang terbaik sekarang untuk mencabar tempat," katanya.
Selepas empat perlawanan dimainkan setakat ini, Malaysia berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan enam mata (dua menang dan dua kalah).
Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei kedua-duanya mempunyai sembilan mata (tiga kemenangan dan satu kekalahan) tetapi bekas pendahulu itu berdasarkan perbezaan gol. — The Star/LIMTEIKHUAT
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram