CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dilaporkan hilang selepas keluar menonton perlawanan bola sepak, Sabtu lalu.
Hafiz Fauzan Abd Halid, pelajar Tingkatan 5, Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR), Johor disedari hilang selepas didapati tidak pulang ke rumah pada Ahad pagi.
Bapa pelajar itu, Abd Halid Sugiman berkata, sebelum kejadian, anaknya itu meminta izin daripadanya untuk keluar rumah pada pukul 10 malam kerana mahu menonton bola sepak bersama rakannya di Parit Ju, Tongkang Pechah, Batu Pahat, Johor.
BACA LAGI: Hadiah ibu bapa cetus minat, kumpul kasut legenda bola sepak sejak masuk UiTM
Lelaki berusia 44 itu turut berkata, dia kemudian meminta salah seorang anaknya pergi mencari Hafiz Fauzan di rumah rakannya.
“Anak saya pulang dan beritahu, tiada sesiapa pun di rumah rakannya. Hati saya mula gelisah dan saya cuba bertanyakan rakan lain namun mereka menjawab tidak tahu.
“Jadi, saya berusaha mencarinya termasuk meninjau di beberapa jalan yang mungkin dilalui sepanjang Jalan Tongkang Pechah ke Parit Raja, kemudian Jalan Sri Bengkal, namun tiada petunjuk diperolehi.
“Semua jalan belakang pun saya dah lalui kerana kita khuatir jika dia jatuh dalam parit namun setakat ini, sudah dua tiga kali lalui tapi tidak jumpa,” katanya.
Katanya lagi, dia bersama keluarga menjemput Hafiz Fauzan di asrama SMAPR pada petang Sabtu memandangkan cuti persekolahan.
“Khamis lalu, dia menyertai pertandingan nasyid peringkat daerah dan muncul naib juara. Petang hari sama pula dia mewakili sekolah dalam pertandingan bola sepak dan juara.
“Selepas menjemputnya, kami keluar makan bersama-sama di Yong Peng, jadi kami tiba di rumah sekitar pukul 10 malam. Dia pun minta izin keluar nak tonton final bola sepak di rumah rakannya itu,” katanya.
Dalam pada itu, Abd Halid yang juga guru memberitahu, dia juga meminta bantuan rakan yang mengamalkan perubatan Islam.
Namun, katanya, dia dimaklumkan hasil daripada rawatan itu menunjukkan anaknya masih ada cuma ‘dilindungi’ di suatu lokasi yang tidak diketahui.
“Sama ada bersembunyi atau disembunyikan, saya pun tak tau...wallahuaalam. Tapi, saya sentiasa amalkan solat hajat mohon ALLAH beri petunjuk di mana dia berada.
“Ketika ini, kalau hendak makan atau tidur, saya akan teringat Hafiz Fauzan. Saya sentiasa berdoa semoga dipermudahkan segala urusan dan dipertemukan secepat mungkin,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Tongkang Pechah pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram