'Pengganti Syafiq Ahmad, Darren Lok tidak membebankan', duo Sabah, JDT II tak dipanggil kerana bersebab


  • Podium
  • Rabu, 29 Mei 2024

Darren Lok (kiri) dan Syafiq Ahmad terpaksa digugurkan daripada skuad Harimau Malaya berikutan mengalami masalah kecederaan. — Facebook/FAM

SELEPAS kehilangan beberapa tonggak penting, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon sekali lagi menerima tamparan hebat bagi menghadapi dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei Jun nanti.

Ia selepas tonggak Kedah Darul Aman (KDA) FC, Syafiq Ahmad dan penyerang Sabah FC, Darren Lok menjadi pemain terbaharu yang terpaksa digugurkan pengendali dari Korea Selatan itu.

Syafiq yang sebelum ini dicanang akan mengisi tempat penyerang naturalisasi, Romel Morales disahkan mengalami kecederaan ketika aksi Liga Super 2024 menentang Perak FC, Jumaat lalu.

BACA LAGI: 'Saya ada lihat sesuatu padanya', Razman Roslan puas hati nama Adib Raop tersenarai

BACA LAGI: Pan-gon dalam misi cari pengganti Arif Aiman, Faisal Halim

WhatsApp Image 2024-05-29 at 17.06.10

Shamie Iszuan antara pemain terbaharu dipanggil Pan-gon untuk menggantikan posisi Darren Lok. — Facebook/FAM

Susulan itu, Pan-gon mengambil keputusan memanggil pemain Kuala Lumpur (KL) City, Zhafri Yahya yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia.

Selain Zhafri Yahya, tonggak Kuching City FC, Shamie Iszuan antara pemain terbaharu yang dipanggil Pan-gon untuk menggantikan Darren Lok yang turut menerima nasib sama kerana mengalami kecederaan hamstring.

Bagi pemerhati bola sepak, Prof Madya Dr Zulakbal Ab Karim berpendapat bahawa isu kecederaan merupakan perkara biasa yang sering berlaku dalam bola sepak.

Menurutnya, sudah pasti setiap jurulatih mempunyai perancangan lain untuk menghadapi masalah seperti itu.

"Pendapat saya, kecederaan merupakan perkara biasa dalam bola sepak, kita kena terima hakikat sekiranya pemain mengalami kecederaan.

"Sebagai jurulatih, biasanya jurulatih akan mempunyai plan B sekiranya ada pemain yang cedera dan kita memang ada senarai pemain yang bersedia untuk digantikan," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-05-29 at 17.06.09

Zhafri Yahya diberi peluang untuk beraksi bersama Harimau Malaya apabila dipanggil Pan-gon untuk menggantikan Syafiq Ahmad. — Facebook/FAM

Bercakap mengenai pemilihan dua pemain tanah air tersebut, Zulakbal berpendapat bahawa pastinya Pan-gon mempunyai perancangan tersendiri dalam membawa Malaysia menghadapi dua aksi penting nanti.

"Jadi bagi saya, dua pemain yang bakal menggantikan itu memang sudah berada dalam senarai perancangan bagi menggantikan pemain cedera mengikut posisi masing-masing.

"Sudah tentu dari pandangan jurulatih, mereka merupakan pemain yang paling layak dan terbaik untuk menggantikan mereka.

"Siapa pun yang dipilih dan diberi peluang, mereka kenalah tunjukkan kebolehan untuk dikatakan layak mewakili negara, mereka pun pastinya teruja dengan peluang sebegitu," jelas pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Menurut Zulakbal, kehadiran Shamie dan Zhafri ke skuad kebangsaan tidak akan membebankan pemain lain untuk mendapatkan keserasian.

"Pendapat saya, pemilihan dua pemain tersebut tidaklah membebankan, sama ada pemain baharu atau lama yang dipanggil, mereka kena sesuaikan diri dengan pasukan kerana mereka juga sebahagian daripada Harimau Malaya," ujarnya lagi.

Sementara itu, Zulakbal turut berkata, sudah pasti Pan-gon mempunyai sebab tersendiri mengapa tidak memanggil pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Gabriel Nistelrooy dan Sabah FC, Jafri Firdaus Chew ke skuad kebangsaan.

"Saya percaya Pan-gon pastinya mempunyai kriteria-kriteria tetap yang diinginkannya.

"Kita bukan sahaja mahu menilai dari segi permainan dan kebolehan, tapi ada aspek yang pastinya difikirkan oleh Pan-gon yang menyebabkan Gabriel dan Jafri belum cukup sesuai dipanggil bagi menggantikan pemain yang cedera.

"Pan-gon mempunyai hak mutlak dan tiada siapa yang boleh pertikaikan keputusan dia untuk memilih pemain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram