KETUA pasukan skuad kebangsaan, Dion Cools terus berada di kelasnya tersendiri apabila dikhabarkan khidmatnya sebagai pemain pertahanan kini diburu oleh dua kelab Eropah yang berpangkalan di Belgium.
Khabar angin itu mula rancak dibincangkan apabila laman Instagram penyokong bola sepak tanah air, Frfuturetalents memaklumkan bahawa kelab Belgian Pro League iaitu Cercle Brugge dan OH Leuven adalah dua pasukan yang beratur ingin merekrut Cools.
Kecemerlangan pemain berusia 27 tahun berkenaan membantu Buriram di saingan Liga Divisyen Satu Thailand (Thai League 1) sehingga merangkul trofi Thai League 1 musim ini pasti antara faktor menarik minat dua kelab tersebut.
BACA LAGI: Bukan tak mampu, gaji Dion Cools lebih mahal dari bekas bintang J-League
BACA LAGI: Hilang dari radar, 3 bintang 'ghaib' ketika tirai Liga Super timbulkan tanda tanya
Sejak menyertai skuad Thunder Castle pada 2022, Cools sudah menempa pelbagai kejayaan dengan menjulang trofi Thai League 1 sebanyak dua kali, Thai League Cup sekali dan Thai FA Cup pada musim lepas.
Bukan itu sahaja, kemampuan pemain warisan Malaysia-Belgium berkenaan untuk beraksi di pelbagai posisi pertahanan menjadi nilai tambah untuk pasukan seperti Cercle Brugge yang bakal beraksi di Liga Europa UEFA musim depan.
Dengan kontrak Cools difahamkan berakhir pada Jun 2024, kebarangkalian untuk mana-mana kelab bagi mendapatkan khidmatnya boleh berlaku dan ia akan menambah pesaing buat dua pasukan Belgium itu.
Sekiranya perjanjian kontrak dengan kelab baharu termaterai, ia sekali gus memadam lagi hasrat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mendapatkan tonggak pertahanan berpengalaman berkenaan.
Cools ketika menjulang trofi kemenangan Thai League 1 baru-baru ini. — Instagram/Cools
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang juga pemilik JDT memberi bayangan bahawa Cools bakal menyarung jersi Harimau Selatan pada satu hari nanti.
Dalam satu temu bual bersama Astro Arena, TMJ menjelaskan ketika ini gaji Cools terlalu tinggi dan ia adalah faktor pemain kacukan tersebut menyertai Buriram United dan bukannya mendarat di bumi Johor.
Terdahulu, Majoriti melaporkan bahawa menerusi info yang dikeluarkan oleh salarysport, Cools memperoleh €5,400 (RM27,300) untuk seminggu dan gaji tahunannya adalah sebanyak €280,800 (RM1.4 juta). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram