SEPANJANG beberapa tahun kebelakangan ini, Terengganu sememangnya bertuah apabila berjaya mendapatkan import berkualiti untuk membantu mereka di atas padang.
Bagaimanapun, sekiranya ditanya peminat setia pasukan, mereka pasti tahu perkara itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana bertahun-tahun dahulu, skuad Sang Penyu sering dilimpahi pemain luar negara bertaraf dunia.
Salah seorang import yang sehingga kini tidak dapat dilupakan ialah pemain dari Ghana, Seidu Issifu yang pernah beraksi buat kelab Pantai Timur tersebut pada zaman 1990-an dan awal 2000.
BACA LAGI: Marin sedar Derbi Pantai Timur sukar, Jae-hong ada 'gerakan kreatif' jumpa Terengganu
BACA LAGI: Aksi cemerlang bintang Pahang, Kedah, Terengganu belum cukup pikat hati Pan-gon
Seidu merupakan seorang import cukup berkualiti pernah dimiliki skuad Sang Penyu.
Kehadirannya menyaksikan pasukan itu muncul juara divisyen kedua bola sepak tanah air pada 1998 di samping beberapa legenda kelab yang lain, seperti Samuel Chebli, Jean Nyima dan Zahasmi Ismail.
Baru-baru ini, nama pemain berkenaan sekali lagi disebut-sebut penyokong Terengganu selepas dia muncul dalam satu video pendek bersama seorang warga tempatan dengan ia difahamkan direkodkan sekitar Mekah, Arab Saudi.
Dalam klip berdurasi 44 saat berkenaan, Seidu yang berbaju putih dan mengenakan kopiah menjelaskan dia beraksi buat kelab berkenaan sebanyak dua kali, iaitu pada 1998 dan 2002.
Menariknya, pemain berkenaan kelihatan memahami beberapa bait-bait kata dalam Bahasa Melayu yang disampaikan selain teruja apabila berpeluang bertemu seorang rakyat Malaysia.
Video tersebut kini mendapat tontonan orang ramai dengan penyokong skuad Sang Penyu seakan-akan terbuai dalam memori masing-masing apabila berjaya melihat pemain tersebut.
Seidu kelihatan teruja sepanjang video berdurasi 44 saat itu.
"Ya ALLAH, pemain legenda ni. Muslim rupanya. Aku penyokong Kedah, tetapi memang minat dengan gandingan Seidu Issifu dan Samuel Chebli," kata Azrul Ammry.
"Harap Terengganu FC dengan kerajaan negeri dapat buat reunion import dengan pemain veteran untuk datang ke Terengganu kerana mereka masih ingat kepada kelab ini," kata Azan Azan.
"Pemain legenda Terengganu zaman Dunhill masih taja bola. Dia pernah dapat Anugerah Kasut Emas dengan Terengganu kalau tidak silap. Zaman itu, tiada telefon bimbit dan keputusan hanya keluar dalam surat khabar," kata Ruzi Rahman.
Selain pernah membantu skuad Sang Penyu pulang ke divisyen teratas, Seidu pernah menyambar Anugerah Kasut Emas pada tahun 1998, namun tidak dapat dipastikan jumlah gol dijaringkan pada tahun tersebut.
Namun, keunggulannya tidak dapat diteruskan kali kedua dia beraksi buat pasukan itu apabila kecederaan pernah memaksanya pulang ke negara asalnya untuk mendapatkan rawatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram