Bukan tak mampu, gaji Dion Cools lebih mahal dari bekas bintang J-League


  • Podium
  • Selasa, 14 Nov 2023

Pada jendela perpindahan Januari lalu, Cools menyertai kelab Thailand, Buriram United. — Facebook/Buriram United

BEK tengah negara, Dion Cools baru-baru ini mencuri tumpuan apabila disenaraikan dalam kesebelasan terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL) untuk perlawanan minggu keempat selepas menampilkan persembahan berkelas dunia untuk kelabnya, Buriram United.

Pemain warisan kacukan Belgium-Malaysia itu menunjukkan kualitinya sebagai 'kereta kebal' terbaik untuk wakil Thailand tersebut apabila berhasil mengekang pasukan lawan, Melbourne City daripada membolosi gawang Buriram.

Dalam perlawanan keempat Buriram itu, juara Liga Thailand musim 2022/23 itu juga mengutip tiga mata penuh selepas jaringan dari Goran Causic memberi gol kemenangan 1-0 Buriram ke atas wakil Australia berkenaan.

Rentetan daripada aksi memukau dalam saingan Kumpulan H di pentas ACL itu, tidak hairanlah jika ramai penyokong bola sepak tanah air senada bahawa kualiti Cools itu sepadan dengan gaji yang diterimanya bersama Buriram United.

11

Cools tersenarai bersama pemain lincah Al-Nassr, Talisca. — Facebook/ACL

Bayaran gaji bekas pemain pertahanan FC Midtjylland berkenaan menjadi topik perbualan penyokong selepas difahamkan upahnya bersama kelab Buriram melebihi gaji bekas bintang Liga Jepun (J-League), Theerathon Bunmathan.

Menerusi info yang dikeluarkan oleh salarysport, Cools memperoleh €5,400 (RM27,300) untuk seminggu dan gaji tahunannya adalah sebanyak €280,800 (RM1.4 juta), bekas pemain Yokohama F. M yang juga ketua pasukan Buriram itu mendapat €3,600 (RM18,200) seminggu.

Pendedahan gaji pemain berusia 27 tahun itu secara tidak langsung menjawab sebab Johor Darul Takzim (JDT) masih belum berkesempatan untuk mengikat Cools walaupun diketahui umum betapa Harimau Selatan sudah lama menginginkan khidmatnya.

WhatsApp Image 2023-11-14 at 12.37.39 (1)

Gaji Cools berdasarkan info salaraysport.

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris pernah memberi bayangan bahawa pemain kebangsaan itu mungkin akan menyertai skuad Harimau Selatan satu hari nanti.

Hasrat itu bagaimanapun terpaksa ditunda Harimau Selatan apabila Tunku Ismail turut mendakwa bahawa gaji tonggak pertahanan Harimau Malaya itu terlampau tinggi bagi kelab gergasi tanah air berkenaan.

"Gaji Dion Cools terlampau mahal bagi kami. Buriram bayar gaji yang terlalu mahal tetapi saya tahu dia ingin bermain di Malaysia dan saya tak rasa pemain itu akan main dengan pasukan lain.

"Kami mempunyai hubungan baik. Dia tahu berkenaan projek, infrastruktur dan agenda di JDT dengan jelas. Satu hari nanti Dion Cools akan menjadi pemain JDT," katanya dalam program Nindia Bola di Astro Arena pada Oktober lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram