SUDAH tiga minggu saingan Liga Super membuka tirainya dan sepanjang kempen berlangsung juga menyaksikan pelbagai insiden menarik dipamerkan oleh setiap pasukan dengan ada juga membabitkan kes luar padang berlaku setakat ini.
Selain warna-warni dalam dan luar padang, ada juga situasi menyaksikan beberapa pemain yang masih belum melakukan sebarang penampilan pada musim ini walaupun pada musim sebelumnya mereka merupakan antara tonggak utama.
Sama ada kehadiran bintang baharu, tidak sesuai dengan pendekatan jurulatih atau prestasi mereka kian merudum namun penyokong rata-rata membangkitkan persoalan mengenai keberadaan mereka setakat tiga perlawanan ini.
BACA LAGI: Lee Tae-min pemusnah ‘paling manja’ dimiliki Perak FC — Yusri Che Lah
BACA LAGI: [VIDEO] Elak gaya hidup mewah antara petua legenda Harimau Malaya buat bintang muda menyinar
Menyingkap kembali prestasi musim sebelum ini dan setakat minggu ketiga Liga Super, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang seolah-olah sudah ghaib dari kem masing-masing setakat ini;
1) Hadi Fayyadh
Hadi dilihat masih rajin berada di sesi latihan The Bos Gaurus. — Facebook/PerakFC
Ketika berita penghijrahan Hadi Fayyadh ke Perak FC pada Januari 2023, ramai penyokong bola sepak tanah air tidak sabar untuk melihat aksinya selepas dia berkelana di Liga Jepun (J-League) selama tiga musim sejak 2019.
Bekas penyerang pasukan Azul Claro Numazu dalam divisyen tiga J-League, itu mengikat kontrak selama dua tahun dengan pilihan setahun bersama skuad The Bos Gaurus (TBG).
Namun begitu, selepas setahun bersama Perak FC dan dipinjamkan pula ke PDRM FC pada pusingan kedua Liga Malaysia (Liga M), penyokong sudah mulai mencari-cari dimana keberadaan pemain berkenana dalam skuad TBG.
Berdasarkan pengamatan Majoriti di media sosial rasmi Perak FC, kelibat pemain berusia 24 tahun itu masih berada di padang latihan namun belum mendapatkan kepercayaan Yusri Che Lah untuk beraksi di saingan Liga Super.
2) Rahadiazli Rahalim
Rahadiazli semakin tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama Terengganu. — Facebook/TFC
Penjaga gol berketinggian 1.92 meter, Rahadiazli Rahalim mencuri tumpuan para peminat bola sepak tempatan sejak melakukan debutnya ketika perlawanan menentang Perak pada aksi pertama Liga Super 2020.
Sejak mendapat kepercayaan bekas pengendali Terengganu, Nafuzi Zain, Rahadiazli sering dipilih untuk bermain sebagai pemain kesebelasan utama sehinggalah peranannya sebagai penjaga gol nombor satu digantikan oleh Suhaimi Husin.
Namun, sejak ditimpa dengan episod kecederaan dan dibolosi dengan teruk, persembahannya semakin menunjukkan kemerosotan dan tampak kurang meyakinkan dari hari ke hari bersama Terengganu.
Oleh itu, tidak hairanlah tahun ini boleh dikatakan sebagai satu musim yang kurang memihak kepada pemain berusia 23 tahun berkenaan kerana masih tidak mendapat kepercayaan Tomislav Steinbruckner selepas tiga perlawanan.
3) Farhan Roslan
Farhan sering diturunkan sebagai pemain gantian buat Sabah pada tahun lepas. — Facebook/SabahFC
Karier pemain yang diberi jolokan 'Messi Kedah' ketika mewakili Kedah Darul Aman (KDA) FC bermula 2014 hingga 2021, Farhan Roslan semakin hari semakin ghaib dari saingan Liga Malaysia (Liga M).
Penyerang sayap yang kini beraksi bersama Sabah FC itu seolah-olah tidak lagi menemui sentuhannya seperti zaman ketika menyarung jersi KDA FC dan Farhan juga banyak digunakan sebagai pemain simpanan The Rhinos pada musim lepas.
Saingan Liga Super musim lepas menyaksikan pemain yang kini berusia 27 tahun berkenaan hanya tampil dalam 12 perlawanan sahaja dengan Farhan juga sekadar mencetak satu jaringan gol buat Sabah.
Musim ini pula dengan kehadiran pemain sayap import seperti Miguel Cifuentes, nasib Farhan masih menjadi tanda tanya dan dia juga masih tidak diturunkan dalam tiga perlawanan liga setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram