'Work in progress', Arif Aiman beri 'hint' semakin pulih, bakal kembali lepas cuti FIFA


  • Podium
  • Isnin, 27 Mei 2024

Kali terakhir Arif Aiman dilihat beraksi ketika sesi pramusim JDT di Sepanyol. — Facebook/JDT

SELEPAS dua perlawanan Liga Super musim 2024/2025 diharungi Johor Darul Ta'zim (JDT), kelibat pemain sayap sensasi mereka, Arif Aiman Hanapi masih tidak kelihatan sehingga menimbulkan perasaan resah dalam kalangan penyokong yang merindukan aksi lincahnya di atas padang.

Perlawanan pertama menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) yang menyaksikan JDT menang 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor kelihatan tonggak muda itu hanya memanaskan bangku simpanan dan tidak tersenarai dalam senarai pemain.

Manakala, kunjungan di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pula menyaksikan bayang pemain berusia 22 tahun berkenaan langsung tidak kelihatan dalam perlawanan yang menyaksikan JDT menang 4-1 ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC pada Sabtu.

BACA LAGI: Dua gol klinikal import TBG bikin Sang Kenari gigit jari di laman sendiri

BACA LAGI: [VIDEO] Hatrik gagal dicapai, penantian 33 tahun Malaysia 'sapu bersih' Piala Dunia Takraw berkecai

Teka-teki misteri kehilangan tunjang utama dalam kejayaan JDT meraih gelaran 'quadruple' buat dua musim berturut-turut itu akhirnya terjawab selepas difahamkan mengalami kecederaan.

Perkara berkenaan disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Arif Aiman tiada dalam senarai 26 orang pemain yang dipanggil oleh Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon untuk ke kem latihan pusat kali ini.

Arif Aiman menjadi antara empat pemain utama yang terlepas panggilan ke kem latihan kebangsaan bagi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrzgyzstan dan juga Chinese Taipei.

Pengendali Harimau Selatan, Hector Bidoglio juga enggan memberikan tekanan kepada pemain muda berkenaan susulan musim masih lagi panjang sambil mengesahkan perkhabaran pemain ini mengalami kecederaan.

Namun, penantian penyokong untuk melihat aksi lincah Arif Aiman di atas padang akan tertunai tidak lama lagi selepas pemain sayap itu dilihat sedang gigih melakukan latihan sendiri demi mengembalikan kecergasannya.

WhatsApp Image 2024-05-27 at 11.43.44

Tangkap layar Arif Aiman sedang melakukan latihan peribadi di gimnasium JDT.

Menerusi Insta Story dikongsikan Arif Aiman pada Ahad, pemain Harimau Malaya berkenaan berkongsi latihan ringannya di gimnasium JDT sambil meletakkan kapsyen 'latihan dalam proses'.

Perkongsian video latihan berkenaan seolah-olah memberi bayangan bahawa Arif Aiman sudah bersedia untuk kembali beraksi bersama JDT selepas liga bersambung pada pertengahan Jun nanti.

Saingan Liga Malaysia sedang dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada kalender perlawanan antarabangsa Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan skuad kebangsaan akan beraksi bagi perlawanan kelima Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek.

Perlawanan keenam pula akan menemukan Chinese Taipei dan skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram