Dikutuk rakan tak pandai berseni, remaja 15 tahun cipta nama jual lukisan digital sampai ke luar negara


  • Hobi
  • Ahad, 26 Mei 2024

Nur Fathin Sofea Hamzah berjaya buat duit dengan menjual lukisan digital menerusi atas talian.

SIAPA sangka hanya dengan sebuah lukisan mampu memberi pulangan yang sangat berbaloi buat seseorang.

Seorang gadis kecil molek menggunakan bakat seninya untuk mencipta nama di persada antarabangsa dengan menjual karya lukisan digital berkonsep animasi secara atas talian.

Gadis berkenaan, Nur Fathin Sofea Hamzah mengakui kebanyakan pelanggan yang membeli hasil lukisannya adalah daripada negara luar seperti Amerika Syarikat (AS).

BACA LAGI: Kaki pikat burung akui ada yang masuk jerat kemurungan, rela lepaskan meski redah bahaya sehari suntuk di hutan

BACA LAGI: Hadiah ibu bapa cetus minat, kumpul kasut legenda bola sepak sejak masuk UiTM

WhatsApp Image 2024-05-23 at 8.31.18 PM

Fathin cipta lukisan digital watak dalam permainan genshin impact.

"Biasa yang beli memang pembeli antarabangsa. Orang di negara ini jarang beli. Di media sosial saya memang ada letak link untuk orang beli.

"Biasanya mereka akan isi google form dan salinan softcopy yang saya dah lukis akan diberi menerusi emel selepas mereka membuat pembayaran," katanya.

Remaja berusia 15 tahun itu berkata, satu jualan lukisan digital yang diciptanya bernilai dalam RM141.15 sehingga RM941 (AS$30 hingga AS$300) mengikut kesesuaian lukisan yang dibuat.

"Saya juga pernah dapat dalam RM1,079 untuk satu lukisan digital sahaja," katanya.

WhatsApp Image 2024-05-23 at 8.31.18 PM (1)

Fathin mencipta karya lukisan digital watak bernama Ga-Min.

Sejak, meneruskan perniagaan atas talian itu selama lebih kurang setahun, Fathin sudah menjual lebih 30 lukisan.

"Hobi lukis digital arts sangat berbaloi untuk saya kerana sejak menjualnya saya sudah ada duit sendiri untuk beli barangan-barangan yang diidamkan.

"Barangan untuk buat lukisan digital saya beli guna duit sendiri," katanya.

Tidak hanya itu, Fathin juga berjaya menarik ramai pengikut di media sosial yang datangnya daripada negara luar seperti Jerman, AS dan Ireland.

"Saya rasa orang ramai ikuti media sosial saya kerana saya memang jenis yang aktif memuat naik lukisan-lukisan saya," katanya.

Tidak mudah patah semangat, gadis berasal Kuala Lumpur itu juga pernah menerima kritikan daripada rakan-rakannya ketika baru berjinak-jinak dalam lukisan.

"Rakan di sekolah ada yang pernah mempersendakan saya, ada yang tak percayakan saya dan kutuk lukisan saya tak cantik," katanya.

Selepas berjaya menarik ribuan pengikut di media sosial, ramai rakannya yang dahulunya mengutuk mulai mahu mendekatinya.

"Ada juga yang sekarang dah cuba nak baik-baik," katanya.

WhatsApp Image 2024-05-25 at 6.37.29 AM

Fathin bersama ibunya, Soimah Abdullah.

Menceritakan permulaannya berminat dalam seni, anak bongsu kepada empat adik-beradik itu menginspirasikan ibunya, Soimah Abdullah yang merupakan seorang pereka fesyen yang mengetengahkan rekaan tradisional.

"Saya mula ada hobi melukis sebab ibu saya pereka fesyen. Waktu kecil saya nampak ibu lukis baju gaun perkahwinan cantik jadi saya tertarik.

"Lepas itu saya mula latih melukis, kebiasaannya saya luangkan masa tiga kali seminggu untuk melukis," katanya.

Fathin juga terpaku melihat seniman luar negara yang melukis animasi seperti Khouxy dan Askziye memandangkan dia suka menonton filem animasi.

"Mula-mula saya ternampak mereka punya lukisan digital di media sosial dan saya mulai pelajari lukisan digital menerusi YouTube," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram