BINTANG Selangor FC, Faisal Halim dikhabarkan sudah keluar daripada hospital selepas hampir sebulan menerima rawatan.
Ia susulan selepas pemain berusia 26 tahun itu menjadi mangsa simbahan asid individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.
Penyerang skuad kebangsaan itu akan terus menjalani rawatan dan pemulihan psikologi di kediamannya.
BACA LAGI: Selangor sahkan Faisal Halim discaj hospital, proses pemulihan amat luar biasa
BACA LAGI: Selangor sahkan Faisal Halim discaj hospital, proses pemulihan amat luar biasa
Keadaan Faisal Halim ketika menjadi serangan simbahan asid pada 5 Mei lalu.
Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, menjalani rawatan di rumah adalah yang terbaik untuk Faisal pulih dari segi psikologi.
Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey, menjalani empat pembedahan untuk merawat kecederaan luka lecuran tahap empat.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Selangor FC pada Sabtu berkata, pemulihan Faisal daripada kecederaan serius ini amat luar biasa dan menjangkaui jangkaan semua pihak.
Begitu pun, doktor pakar yang bertugas turut menggalakkan agar Faisal meneruskan pemulihannya di rumah.
“Dia memerlukan persekitaran yang berbeza untuk fasa pemulihan seterusnya. Kami juga percaya ia akan membantunya dari segi psikologi untuk berada bersama orang tersayang semasa proses pemulihannya,.
“Kami tahu dia tidak sabar untuk kembali bermain tetapi ia akan mengambil masa beberapa bulan untuk dia kembali ke padang semula. Selepas prosedur cantuman kulit, dia memerlukan sedikit masa untuk pulih, terutamanya dengan berjalan dan sebagainya.
“Tetapi Faisal seorang pejuang. Dia adalah inspirasi kepada semua dan kami tidak sabar untuk melihatnya kembali beraksi semula,” katanya.
Pada masa sama, kelab dan keluarga Faisal turut meminta agar semua pihak memberinya ruang dan privasi untuk memberi tumpuan kepada proses pemulihannya.
“Mari kita terus mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan Faisal sepenuhnya, dan semoga Faisal sekeluarga diberikan kekuatan untuk mengharungi masa sukar ini,” kata Shahril.
Pada 5 Mei lepas, Faisal menjadi mangsa simbahan asid semasa menuju ke kenderaannya bersama keluarga di sebuah pusat beli-belah sekitar Petaling Jaya.
— The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram