MENJELANG baki dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon tidak mengambil masa lama memandangkan hanya tinggal kira-kira dua minggu lagi sebelum sepak mula.
Skuad kebangsaan kini berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan enam mata selepas empat perlawanan.
Walaupun latihan belum boleh diadakan kerana saingan Liga Super 2024/25 masih berjalan, jurulatih dari Korea Selatan tersebut sudah mengeluarkan senarai 26 pemain yang dipanggil.
Barisan pemain itu boleh dikatakan cukup berbeza apabila terdapat beberapa wajah baharu yang dipanggil ke dalam skuad dengan perkara berkenaan menjadi bahan mulut peminat bola sepak tempatan.
BACA LAGI: Bekas penyerang Harimau Malaya, Apandi Yusuf meninggal dunia pada usia 73
BACA LAGI: [VIDEO] Elak gaya hidup mewah antara petua legenda Harimau Malaya buat bintang muda menyinar
Senarai 26 pemain dipanggil ke kem latihan Harimau Malaya. — Facebook/FAM
Keberadaan nama-nama yang tidak pernah dipanggil, seperti Declan Lambert, Adib Raop dan Safwan Mazlan membuatkan orang ramai teruja dengan kelainan bakal ditawarkan.
Selain itu, kepulangan Syafiq Ahmad turut menjadi topik perbualan memandangkan pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC terbabit memiliki pengalaman meluas di pentas antarabangsa.
Namun, di sebalik rasa tertarik tersebut, ada juga penyokong menimbulkan persoalan atas keengganan Pan-gon untuk memberikan peluang buat beberapa pemain yang sudah beraksi cukup baik dalam Liga Super.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga nama yang sudah membuktikan nilai dalam kelab masing-masing tetapi tidak diserap ke dalam skuad kali ini.
1. Alif Zakaria
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penyokong bola sepak tanah air, terutamanya dari Terengganu FC mendesak supaya bek sayap, Alif Zakaria dipanggil berkhidmat buat Harimau Malaya.
Aksinya yang konsisten, baik dari segi menyerang dan bertahan mengangkatnya sebagai salah seorang pertahanan lokal terbaik dengan hal itu diakui ramai.
Namun, lambakan pemain di posisi bek kiri serta keunggulan ditonjolkan Corbin Ong menjadikan usaha anak jati Kuala Terengganu itu untuk disedari semakin sukar.
Alif merupakan salah seorang bek sayap lokal paling konsisten beberapa tahun kebelakangan ini. — Facebook/Terengganu FC
Hal itu berulang kali ini apabila Alif tidak langsung berada dalam senarai bersedia meskipun beraksi cukup baik buat skuad Sang Penyu dalam dua aksi Liga Super.
Ketiadaan berkenaan sudah tentu menimbulkan tanda tanya kerana bek berkenaan berada di tahap berbeza sepanjang berada di atas padang meskipun terpaksa mengisi kekosongan ditinggalkan Azam Azmi Murad di pertahanan kanan.
Sekiranya nasib berkenaan terus berulang, harapan pemain berusia 25 tahun itu untuk dipanggil pada masa akan datang semakin tipis kerana Pan-gon sudah tentu memiliki pertahanan pilihan utamanya.
2. Ariff Farhan
Rekod skuad Sang Kenari dalam Liga Super musim ini tidaklah begitu mengecewakan selepas mereka mengalami satu kekalahan di samping merekodkan satu kemenangan.
Tetapi, kekalahan itu direkodkan ketika berdepan skuad Gergasi Merah yang memiliki jentera serangan cukup ampuh dengan keputusan 0-1 dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Salah satu sebab mereka mampu membuatkan Selangor FC buntu sepanjang 90 minit dengan mutu pemain pertahanan kiri, Ariff Farhan cukup berbeza di tempat lawan.
Arif beraksi dengan baik setakat dua aksi Liga Super. — Facebook/KDA FC
Persembahan dibuktikannya itu menjadikan pemain berusia 27 tahun berkenaan sebagai salah seorang calon terbaik sekiranya Harimau Malaya memerlukan seorang pilihan berbeza di posisi itu.
Bagaimanapun, seperti nasib dialami Alif Zakaria, Ariff hanya terpaksa menelan realiti untuk terlepas peluang kali ini dengan Corbin Ong, Adib Raop dan Daniel Ting merupakan pilihan Pan-gon.
Sekiranya dia terus disisihkan, terdapat kemungkinan bek kelahiran Kedah terbabit tidak akan langsung beraksi buat skuad kebangsaan selepas kali terakhir dipanggil pada 2021.
3. Nor Azam Azih
Musim ini, pemain tengah Sri Pahang FC, Nor Azam Azih sudah kembali menunjukkan kualitinya selepas membantu skuad Tok Gajah tampil lebih baik.
Ini kerana dalam aksi menentang Kuching City FC, bintang kelahiran Maran, Pahang itu berjaya merekodkan satu bantuan jaringan untuk memastikan rekod tanpa kalah pasukan kekal.
Meskipun berdepan isu prestasi musim lalu, sumbangan berkenaan sepatutnya sudah cukup untuk membuatkannya layak diangkat sebagai salah seorang pemain tengah lokal terbaik.
Azam sudah tentu mahu kembali ke tahap terbaiknya musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Namun, perkara itu seakan-akan tidak dapat disedari Pan-gon yang memilih untuk menyisihkannya bagi perlawanan kali ini apabila jurulatih berkenaan lebih mempercayai pemain import.
Berdasarkan senarai dikeluarkan, Azam hanya berada dalam senarai simpanan dengan pemain tengah lain dipanggil seperti Paulo Josue, Stuart Wilkin dan Brendan Gan.
Usia Azam yang semakin lanjut sudah tentu akan menipiskan lagi peluangnya dalam Harimau Malaya meskipun beberapa tahun lalu, dia diangkat sebagai pemain tengah tempatan terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram