[VIDEO] Simbah asid Faisal Halim: Polis siasat kaitan 3 lagi serangan


  • 112
  • Jumaat, 24 Mei 2024

Faisal Halim masih menerima rawatan selepas dua minggu mengalami serangan simbahan asid. — Facebook/Selangorfc

POLIS sedang menyiasat sama ada kes pemain Selangor FC, Faisal Halim disimbah asid pada 5 Mei lalu mempunyai kaitan dengan serangan berunsur jenayah terhadap tiga lagi pemain bola sepak tempatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan setakat ini menjurus kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan rakaman percakapan saksi.

“Fokus kita pada masa ini adalah mencari identiti suspek yang kita peroleh sebelum mengesannya untuk memudahkan kita menyiasat sekali gus mencari motif utama kejadian serangan berkenaan,” katanya menerusi laporan Free Malaysia Today.

BACA LAGI: [VIDEO] Ketua Polis Selangor sahkan ketulenan CCTV Faisal Halim disimbah asid, siasat bagaimana bukti sulit ‘bocor’

BACA LAGI: Sikh Izhan bersama 2 bintang Penang FC bakal kongsi DNA Akmal Rizal bersama Harimau Malaya

Mickey Cedera

Keadaan awal Faisal Halim selepas mengalami serangan asid pada 5 Mei lalu. Facebook

Razarudin berkata, setakat ini polis merakam 23 keterangan individu bagi membantu siasatan.

“Seramai tiga individu yang ditahan sebelum ini dibebaskan selepas didapati tidak mempunyai kaitan, namun mereka boleh dipanggil semula sekiranya dirasakan perlu.

“Tangkapan ketiga yang dilakukan di kawasan kediaman Faisal Halim tidak didedahkan selepas siasatan mendapati individu terbabit disahkan menjalankan kerja penyelenggaraan di kawasan sekitar kediamannya," jelasnya.

Mengenai fotofit atau lakaran gambar suspek yang dikeluarkan minggu lepas, Razarudin berkata, setakat ini tiada perkembangan terbaharu.

Pada Selasa lepas, Razarudin dilaporkan berkata, lapan cap jari ditemukan di lokasi kejadian Faisal disimbah asid, namun hasil analisis mendapati lima daripadanya tidak cukup sifat.

Katanya, baki tiga cap jari lagi tidak mempunyai padanan dalam pangkalan data polis, mungkin kerana individu berkenaan tidak pernah ditahan dan tidak memiliki rekod kesalahan lampau.

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman CCTV berdurasi 56 saat memaparkan kejadian menimpa Faisal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Sebelum itu, pada 2 Mei, pemain pasukan Terengganu FC, Akhyar Rashid mengalami kerugian hampir RM5,000 selepas dipukul dan disamun individu tidak dikenali di depan sebuah kondominium di Kuala Terengganu.

Pada 7 Mei pula, cermin belakang kereta milik pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim dipecahkan menggunakan tukul di Johor Bahru.

Kejadian terbaru berlaku kepada seorang lagi pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee apabila rumahnya dipecah masuk ketika beliau menjalani sesi latihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram