MASALAH pengurusan yang dihadapi Kelantan FC sepertinya tidak berkesudahan apabila ia bermula sejak awal musim lalu.
Isu tersebut dikuatkan dengan keluhan serta pembongkaran staf serta individu di sebalik tabir yang mengatakan kebajikan mereka tidak dijaga.
Kini, tekanan terus diberikan kepada pemilik kelab, Norizam Tukiman yang lebih dikenali sebagai Zamsaham apabila rata-rata penyokong mahu menyaksikan usahawan itu meninggalkan pasukan berkenaan.
Bagi sesetengah daripada mereka, antara calon terbaik untuk memegang jawatan tersebut ialah bekas pemilik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida.
Hal ini kerana pengikut setia kelab Pantai Timur itu berasakan Kelantan FC berada di tahap terbaik ketika dia bergelar pemegang saham terbesar kelab dari 2016 sehingga 2017.
Namun, di sebalik keghairahan untuk menyaksikan usahawan anak jati Kelantan untuk kembali mengemudi kelab, ada yang mula berpendapat ia bukanlah satu idea yang bernas.
Vida berhasrat menjadikan Kacak sebagai pengurus kelab TRW. — Instagram/Kacak
Antara pandangan yang dilontarkan adalah kerana mereka melihat kehadiran Datuk Vida tidak akan mengubah nasib sebenar kelab disebabkan ia hanya satu langkah pemasaran.
Tetapi, apa yang lebih merisaukan adalah mengenai hasrat pemilik jenama kosmetik ternama tersebut untuk meletakkan anaknya, Muhammad Eric Zecquan Mohd Amin atau lebih terkenal sebagai Kacak sebagai pengurus kelab The Red Warrior (TRW).
“Saya kena berunding dengan mereka sebab bukan saya akan uruskan tapi Kacak. Saya akan beri kepada orang yang tahu pasal bola seperti Kacak. Jangan ada campur tangan pihak lain,” ujarnya.
Lebih mengejutkan lagi, individu berusia 16 tahun itu sekali lagi mencuri perhatian media apabila dia menyatakan hasrat untuk bergelar seorang pemain bola sepak.
Perkara tersebut diluahkan menerusi satu sesi wawancara bersama Astro Arena yang jelas menarik tumpuan orang ramai apabila dia serta Datuk Vida menceritakan pandangan masing-masing.
Penyokong berasakan Kacak tidak mempunyai latar belakang kukuh mengenai kerja-kerja pengurusan bola sepak. — Facebook/TRW
Pendirian itu jelas ditolak mentah-mentah penyokong TRW apabila melihat Kacak tidak mempunyai latar belakang kukuh mengenai kerja-kerja pengurusan bola sepak.
"TRW ini melibat maruah negeri bukan benda main-main untuk cari publisiti bodoh macam jual produk," kata Lee Kwang Soo.
Seorang lagi penyokong, Amir_Amir tidak bersetuju dengan kenyataan jutawan kosmetik tersebut yang seolah-olah tidak serius mengambil alih kelab tersebut.
"Kalau dia nak ambil Kelantan FC dengan tujuan nak masukkan anak dia dalam kelab tersebut aku tak setuju. Punah harapan pasukan kita," katanya.
"Apalah nasib pasukan TRW ini, yang pelik-pelik saja nak ambil alih. Punah harapan bangsa," kata Zaed Sidek. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram