WALAUPUN tiada sebarang perkembangan baharu mengenai pemilikan Kelantan FC akan berserah tangan kepada Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida namun ia bukan alasan untuk usahawan selebriti itu membuat perancangan awal sebagai bukti kesungguhannya.
Seperti baru-baru ini, Vida memberitahu bahawa beliau dan anak lelakinya, Muhammad Eric Zecquan Mohd Amin atau lebih terkenal sebagai Kacak sedang aktif mendapatkan beberapa pandangan dari beberapa jurulatih mengenai ideanya untuk mentadbir semula Kelantan.
Kacak akan dipertanggungjawabkan untuk menaung Kelantan FC berikutan minatnya dalam bola sepak, manakala Vida pula akan membantu dari segi pengurusan The Red Warriors (TRW).
Berkongsi kepada Majoriti, Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd mendedahkan legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan merupakan rujukan utamanya untuk membina semula empayar Kelantan.
Zainal mempunyai pengalaman kejurulatihan di pelbagai kelab Liga Super seperti Penang FC, Pahang FA dan Melaka United. — Facebook/Melaka
“Datuk Zainal Abidin dan jurulatih Kacak. Kami perlu merahsiakan perbincangan dengan Zainal. Datuk merestui tapi perlu ada rancangan yang rapi untuk ambil Kelantan.
“Kacak ada pasukan dia dan jurulatih dia. Dia ada pasukan dia yang urus, jadi dia dah putuskan siapa dia nak lantik. Tapi kita tunggu kalau dah sah akan dapat Kelantan.
“Kini Zamsaham (Norizam Tukiman, pemilik Kelantan FC) tak nak jual murah. Sekarang dia nak saya tulis surat untuk dia. Kalau tulis surat, dia dah tetapkan harga. Bukan harga yang saya tetapkan,” kongsinya mengenai perkembangan terbaharu TRW.
Selain Zainal Abidin, bekas penaja pasukan skuad TRW itu juga menganggap pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim boleh menjadi model terbaik dalam membina pasukan bola sepak.
Vida memberi kepercayaan kepada Kacak untuk menaung Kelantan. — Instagram/Vida
Setelah mengambil alih pengurusan kelab bermula pada 2012, Tunku Ismail mengambil masa selama 11 tahun untuk menjadikan Harimau Selatan sebagai sebuah pasukan digeruni di tanah air
“Insya-ALLAH (rujuk TMJ) jika dipermudahkan urusan. Kami pun nak rujuk dengan orang yang arif dan ada proof. Bukan yang arif sahaja dan cakap sahaja tapi tiada proof. Insya-ALLAH jika dipermudahkan urusan.
“Saya kasihan sebab ini melibatkan maruah Kelantan. Bagus-bagus di puncak, tiba-tiba tercorot dan banyak masalah jadi. Kalau bola diambil untuk satu musim ke dua musim, tidak akan ke mana pasukan itu.
“Pembinaan bola sepak ambil masa. Macam mana TMJ buat JDT ambil masa berpuluh tahun untuk bina pasukan. Bukan guna masa yang singkat,” tambahnya.
Untuk rekod, pada awal musim 2016, Vida Beauty menjadi penaja utama Kelantan dengan mengikat perjanjian bernilai RM16 juta bagi tempoh dua musim sehingga 2017. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram