JOHOR Darul Ta'zim (JDT) boleh dilabel sebagai pasukan serba lengkap dari segi skuad depth pemain, infrastruktur bertaraf Eropah dan barisan jurulatih berpengalaman yang direkrut khusus untuk memperkasakan lagi Harimau Selatan.
Juara bertahan Liga Super 10 kali berturut-turut itu dijangka sekali lagi boleh mempertahankan kemenangan mereka pada musim ini walaupun dengan air tangan berbeza daripada tahun lepas.
Hector Bidoglio kembali menerajui Harimau Selatan pada musim 2024/2025 bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Esteban Solari selepas meninggalkan kelab itu setelah kontraknya tidak disambung.
BACA LAGI: Sukar teruskan perjuangan, Daud Bakar dedah KDA hanya mampu bertahan sebulan
BACA LAGI: TMJ ‘bersuara’ kes pecah rumah Khuzaimi Piee, ‘comment ni kena delete ke?’
Jurulatih kelahiran Argentina itu bukanlah asing bagi skuad Harimau Selatan kerana pernah berkhidmat seketika sebagai ketua jurulatih JDT dari Julai hingga November tahun lalu sebelum menjadi Pengarah Teknikal kelab.
Bidoglio turut dibantu oleh penolong jurulatih musim lalu, Pablo Ricchetti selain beberapa jurulatih termasuk kakitangan kecergasan dan perubatan baharu serta ada juga yang dikekalkan daripada musim lepas.
Antara yang masih digunakan Harimau Selatan ialah Angel Acena iaitu seorang fisioterapi mempunyai dengan pengalaman berharga pernah membimbing skuad Costa Rica di saingan Piala Dunia 2018.
Acena berpengalaman menjadi fisioterapi dan jurulatih kecergasan di beberapa kelab. — Facebook/JDT
Pemain terkenal ketika berada di bawah jagaan Acena ialah bekas penjaga gol Real Madrid, Keylor Navas. Selain itu, Acena yang berusia 41 tahun itu juga pernah menjadi jurulatih kecergasan kelab Liga Perdana Inggeris, Watford FC pada 2021-2022.
Difahamkan, jurulatih kecergasan kelahiran Sepanyol berkenaan memiliki pendidikan bertaraf Ijazah Sarjana (Master) berkaitan pendidikan kecergasan dari Health Sciences Institute, Castile-La Mancha, Sepanyol.
Sementara itu, Acena juga difahamkan aktif membuat analisis berkaitan kecergasan pemain bola sepak seluruh dunia dan berkongsi pengetahuannya berkaitan hal tersebut di X (Twitter).
Dengan pengalaman mahal Acena itu, jangan terkejut jika pemain Harimau Selatan sentiasa berada di tahap kecergasan terbaik dan sekali gus mampu mengekalkan rentak kemenangan mereka pada musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram