INSIDEN pecah rumah dialami bek Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee sekali lagi mencalarkan imej bola sepak tanah air yang semakin kerap menghadapi isu sedemikian kebelakangan ini.
Selain mengalami kerugian ribuan ringgit, kesan mendalam sudah tentu dirasakan pemain berusia 30 tahun berkenaan yang khuatir akan keselamatannya pada masa akan datang.
Malah, pemain kebangsaan itu turut mengakui dirinya risau untuk pulang ke kediaman selepas insiden itu kerana risau akan keselamatan diri dan keluarganya.
BACA LAGI: 'Apa salah Dr Johan?', fans Gergasi Merah pelik TMJ petik nama CEO Selangor
BACA LAGI: TMJ ‘bersuara’ kes pecah rumah Khuzaimi Piee, ‘comment ni kena delete ke?’
Keadaan kediaman Khuzaimi selepas insiden pecah rumah pada Khamis. — Instagram/Ahmad Khuzaimi Piee
"Saya tidak tahu sekiranya saya akan balik rumah atau tidak, saya rasa tidak selamat ketika ini. Sejujurnya, saya tidak dapat tidur dengan lena.
"Saya masih akan berlatih untuk aksi menentang Negeri Sembilan FC pada Ahad ini, tetapi penilaian akan dibuat barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan. Saya risau kerana mereka ada maklumat keluarga saya disebabkan pasport saya juga hilang," katanya.
Dalam kejadian yang berlaku pada Khamis, kediaman pemain kelahiran Melaka itu dipecah masuk ketika dia berada di padang latihan dengan insiden tersebut dikongsikannya menerusi laman Instagram.
Selain kehilangan pasport, sebuah motorsikal jenama Yamaha Y-15 turut dibawa lari suspek yang menggunakan sebuah kenderaan serba guna (MPV).
Insiden dialami Khuzaimi merupakan kejadian kedua melibatkan pemain skuad Gergasi Merah selepas penyerang sayap mereka, Faisal Halim mengalami serangan asid awal bulan ini.
Selangor FC mengutuk perbuatan dan keganasan di luar padang. — Facebook/Selangor FC
Dalam pada itu, pengurus kelab, Mahfizul Rusydin berkata, pihaknya akan membantu pemain berkenaan menempuhi detik gelap itu selain akan membuat penilaian terhadapnya sebelum aksi menentang skuad Jang.
"Saya sudah bercakap dengannya. Dia sudah sedikit tenang, tetapi masih berasa takut. Fokusnya adalah untuk perlawanan itu dan dia sertai sesi latihan pasukan dan kami harap Khuzaimi akan bersedia bagi hari perlawanan.
"Kami akan melihat bantuan diperlukannya. Apa sahaja dialaminya dan mana-mana pemain lain, saya harap tiada spekulasi yang timbul. Kami tidak mahu apa-apa kontroversi," katanya.
Selepas ini, skuad kendalian Nidzam Jamil tersebut akan menerima kehadiran Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Selangor dengan misi meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Super.
Mereka kini menduduki tangga ketujuh Liga Super selepas meraih tiga mata hasil satu kemenangan dan satu kekalahan selepas dua perlawanan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram