Perkembangan Faisal positif, masih tunggu 'lampu hijau' keluar dari hospital


  • Podium
  • Khamis, 23 Mei 2024

Faisal (tengah) mengharungi empat pembedahan untuk merawat kecederaan akibat disimbah asid.

PERKEMBANGAN pemain Selangor FC, Faisal Halim dilihat berada dalam keadaan yang semakin baik selepas menjalani pembedahan sebanyak empat kali.

Pemain utama skuad Harimau Malaya itu dilaporkan menunjukkan perkembangan positif lebih-lebih lagi selepas pembedahan keempat dijalaninya.

Pembedahan keempat yang dilalui Faisal merupakan proses skin allograft yang merupakan usaha merawat luka akibat kebakaran terhadap individu tidak cukup kulit untuk tutup luka terbakar pada badan.

BACA LAGI: [VIDEO] Ketua Polis Selangor sahkan ketulenan CCTV Faisal Halim disimbah asid, siasat bagaimana bukti sulit ‘bocor’

BACA LAGI: Lagi kes babit bintang bola sepak, penjenayah mungkin ‘sudah baca’ rutin harian — Pakar jenayah

Menurut Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Hazwan Khair, Faisal menunjukkan perkembangan positif selepas mengharungi empat pembedahan.

Kata Hazwan, walaupun perkembangan positif itu ada pada pemain berkenaan tetapi dia kembali tidak selesa akibat pembedahan tersebut.

"Faisal menunjukkan perkembangan positif selepas pembedahan, namun begitu pergerakannya sedikit terbatas akibat prosedur yang dilaluinya.

"Akan tetapi, ia adalah normal bagi seseorang selepas menjalani proses skin allograft ini. Selepas beberapa hari, baru dia akan kembali normal," kata Hazwan kepada Majoriti.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan, sebahagian daripada kulit di bahagian paha Faisal diambil untuk diletakkan pada bahagian yang terjejas. Disebabkan itu hadirnya rasa tidak selesa dialami oleh pemain tersebut.

Dalam pada itu, Hazwan menambah, masih belum ada tarikh yang jelas untuk pemain itu keluar daripada hospital kerana penilaian masih lagi perlu dibuat.

"Bukan Jumaat, Sabtu atau minggu ini Faisal akan keluar dari hospital, sejujurnya masih tiada waktu jelas bilakah dia akan keluar tetapi dalam masa terdekat.

"Kami sedang menanti penilaian terakhir daripada pakar mengenai keadaan Faisal. Selepas perbincangan dibuat oleh pakar bedah bersama-sama saya, baru dapat diputuskan bila Faisal boleh pulang ke rumah," ujar Hazwan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram