Kedah Darul Aman FC perlu diselamatkan daripada ditunjuk jalan keluar


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Khamis, 23 Mei 2024

Daud Bakar, mendedahkan Kedah 'sedang tenggelam' apabila hanya mampu bertahan selama dua bulan ekoran kesukaran mencari penaja utama musim ini.

BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.

PERNAH tak sesiapa membayangkan jersi pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC terpampang tulisan besar 'Rakyat Kedah' sebagai penaja utamanya?

Mengambil dorongan daripada Piala Dunia 1982 di Sepanyol, ketiadaan penaja utama siaran langsung televisyen hampir menyebabkan peminat bola sepak tempatan tidak berkesempatan mengikutinya secara terus.

Seperti catatan di laman mindaahad.wordpress.com yang mengisahkan perjuangan rakyat Malaysia sempena Piala Dunia 1982, apa yang asalnya idea seorang peminat disusuli sebuah akhbar yang menyiarkan suratnya.

BACA LAGI: Selangor turunkan ramai pemain B-23, Nidzam Jamil pernah gilap Azri Ghani dan 2 bintang lain

BACA LAGI: TMJ ‘bersuara’ kes pecah rumah Khuzaimi Piee, ‘comment ni kena delete ke?’

"Sekiranya kerajaan tidak ada wang, jadi biarlah kita rakyat Malaysia yang menyumbangkan dana," cadang peminat berkenaan.

Entah dari mana semangat itu datang, tanpa mengira kaum, agama dan kecondongan politik, kesemuanya menyokong cadangan itu. Satu dana dibentuk, wang datang mencurah-curah. Semuanya demi Piala Dunia 1982.

"Dalam sesingkat masa, hampir RM2 juta sudah terkumpul, namun ia masih jauh daripada sasaran. Pada saat penuh emosi itu, akhirnya syarikat swasta tanpa diarah-arah melangsaikan selebihnya. Rakyat Malaysia tersenyum, dunia memandang kagum,” kata catatan Minda Ahad itu pada 30 Mei 2010.

Hasilnya, beberapa minit sebelum perlawanan pembukaan Argentina menentang Belgium pada 13 Jun 1982 – pada saat semua televisyen dunia dikuasai iklan penaja -- di televisyen Malaysia terbit satu rangkaian kata-kata penuh keramat.... SIARAN LANGSUNG INI DITAJA OLEH RAKYAT MALAYSIA. Siaran langsung dapat ditonton sehingga final pada 1 Julai 1982 yang menyaksikan Itali mengalahkan Jerman Barat 3-1.

Tan Sri Mohd Daud Bakar

Profil Tan Sri Mohd Daud Bakar.

KDA FC, yang mengalami masalah kewangan meruncing dan hanya mampu bertahan sebulan atau dua saja lagi untuk bersaing dalam Liga Super 2024/25, mungkin boleh mengambil semangat yang sama.

Wujudkan ‘Dana Selamatkan KDA FC’ untuk penyokong bola sepak Kedah baik jauh mahupun dekat membuat sumbangan, tiada siapa tahu berapa banyak yang boleh dikutip demi kelangsungan kelab berkenaan. Mana-mana yang kurang mungkin dapat ditampung penaja-penaja kecil selain agensi kerajaan negeri.

Andai peminat menganggap bola sepak sebagai hiburan nombor satu mereka, tentunya mereka tidak keberatan membuat sumbangan seikhlas hati agar Helang Merah dapat terus terbang tinggi dalam saingan liga domestik.

Pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar, mendedahkan selepas perlawanan dengan Selangor FC di Stadium MBPJ, Sabtu lalu bahawa kelab itu 'sedang tenggelam' apabila hanya mampu bertahan selama dua bulan ekoran kesukaran mencari penaja utama musim ini selepas sebuah syarikat menarik diri pada saat-saat akhir.

“Saya rasa keseorangan melihat kepada jentera Selangor yang mempunyai jentera yang cukup hebat untuk memberikan sokongan kepada pasukan. Untuk Kedah, saya rasa kami perlukan sokongan semua pihak untuk menjayakan misi menjadikan kelab ini sebagai pasukan yang kuat.

“Tidak cukup kalau saya seorang. Kami perlukan sokongan dari syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan, kerajaan negeri dan semua pihak yang mempunyai hati untuk bola sepak Malaysia. Masih belum terlambat untuk mana-mana pihak membantu kami,” katanya ketika ditemu bual Astro Arena.

Kedah

Jersi pra-musim terpampang penaja 'Arab Street'.

Jika penonton melihat 'Arab Street' terpampang di jersi KDA FC dalam dua perlawanan pertamanya, ia sebenarnya adalah jersi pra-musim 2024/25 buat sementara bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga perlawanan pertama. Slot penaja utama masih terbuka dengan pihak pengurusan kelab sedang giat menarik bakal penaja baharu sehingga satu tempoh ditetapkan.

Selain terpaksa menangguhkan pelancaran jersi baharu tajaan AL Sports Sdn Bhd musim ini selepas berdepan kesukaran bagi mencari penaja utama, KDA FC juga menyatakan mereka memerlukan dana sebanyak RM8 hingga RM10 juta daripada mana-mana penaja.

“Kita perlukan bajet yang besar untuk 15 bulan musim ini, bukan 12 bulan. Jadi, kita perlukan penajaan yang besar. Dan penaja utama biasanya bernilai RM8 juta hingga RM10 juta. Kalau ada penaja utama, Insya-ALLAH kita boleh berjalan sebab kita sudah ada sokongan daripada penaja-penaja yang kecil,” tambah Mohd Daud.

Bagi musim 2024/25 ini, KDA FC hanya mendapat ‘lesen’ bertanding pada saat-saat akhir apabila ia memaklumkan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) April lalu bahawa ia sudah mendapat kelulusan pembiayaan dana bagi menyelesaikan tunggakan gaji pemain bagi musim lalu.

Dalam pada itu, KDA FC tetap dikenakan pemotongan tiga mata bagi liga musim ini dan denda RM50,000 kerana gagal menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji bagi tahun 2023 pada atau sebelum tarikh akhir 30 Mac 2024.

Ia tetap mengundang pelbagai reaksi di media sosial terutama selepas Kelantan FC tidak mendapat ‘lesen’ untuk ikut bertanding atas masalah serupa hingga Presiden MFL, Ab Ghani Hassan mengeluarkan kenyataan menafikan badan pengelola liga itu bersifat ‘memberi muka’ kepada KDA FC.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebelum ini berjanji bahawa kerajaan negeri tetap akan terus memberi bantuan kepada KDA FC meskipun pasukan itu sudah diswastakan sepenuhnya sejak Ogos 2022 tetapi ia menerusi sumber kewangan lain dan tidak sesekali menggunakan duit daripada kantung kerajaan negeri.

“Selama ini kita bantu melalui KFA, sampai sekarang KFA bantu dan terbaharu kita salurkan beberapa juta ringgit lagi, cuma saya tak mahu bising. KFA sudah tolong sejumlah RM16 juta sejak dulu. Saya tak akan guna duit kerajaan untuk bayar gaji bola sepak, sama juga tak guna duit kerajaan negeri untuk bayar gaji pekerja dalam syarikat,” katanya bulan lalu.

Menghadapi kemelut terbaru ini, kerjasama dan bantuan Menteri Besar sekali lagi ditagih dan diharapkan beliau tidak serik untuk membantu. Tak mungkin Sanusi tak berasa kasihan dengan KDA FC yang digambarkan ‘sedang tenggelam’.

Selepas KDA FC disahkan oleh First Instance Body (FIB) telah bebas daripada isu tunggakan gaji pemain bagi musim 2023, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam, mengakui kelab itu adalah aset penting bagi Liga Malaysia di samping gembira skuad Kenari komited untuk terus bersaing dalam Liga Super 2024/2025.

"Kedah aset penting buat Liga Malaysia. Kami mahu melihat mereka terus bersaing dalam Liga Super," katanya menerusi Stadium Astro, 22 April lalu.

Tahun ini juga menandakan sambutan 100 tahun bola sepak Kedah. Kerana itu juga, adalah penting untuk pelbagai pihak tampil membantu KDA FC daripada terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super lebih awal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram