Tujuh pemain naik pangkat ke skuad senior petanda 'ubi muda' mampu bersaing di Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 22 Mei 2024

Alif Ikmalrizal (kanan) antara yang dinaikkan pangkat untuk bersama pasukan senior Penang FC. — Facebook/PenangFC

PENGENDALI Penang FC II, Manzoor Azwira berharap lebih ramai anak buahnya dapat mengikut jejak langkah beberapa pemain muda lain yang telah dinaikkan pangkat dengan beraksi di pentas Liga Super musim ini.

Harimau Kumbang antara paling ramai mengikat tujuh pemain daripada pasukan bawah 23 (B-23) tahun yang beraksi di pentas Piala MFL musim lalu iaitu Haziq Mukriz Hasemuddin, Aikmal Roslan, Iman Rafaei Abd Razak, Shafu Azswad Sapari, Izzat Zikri Iziruddin, Daniel Irfan Nadzri dan Alif Ikmalrizal Anuar.

Dengan pencapaian tujuh pemain itu, Manzoor pastinya meletak harapan tinggi agar anak buahnya mampu bersaing lebih hebat sekiranya ingin menambat hati skuad utama Liga Super selepas ini.

BACA LAGI: Ubi muda JDT, Rozaimi dan pemain berdarah Cameroon antara pemain paling curi tumpuan MFL

BACA LAGI: Hatrik dalam Piala MFL, bagaikan sudah tiba masanya anak Sarawak ganti Bergson

Pengendali yang mengisi posisi sebagai pengendali B-23 Penang itu mengekalkan lima sahaja pemain musim lepas dan menyaksikan seramai 20 pemain baharu hadir bagi mengharungi kejohanan Piala MFL pada tahun ini.

"Tujuh pemain tersebut adalah di bawah bimbingan jurulatih Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) tahun lepas dan mereka berjaya membuktikan kemampuan untuk bersaing di peringkat Liga Super pula musim ini.

"Jadi saya rasa ia merupakan pencapaian yang baik dan positif untuk kelab Penang FC dan saya berharap tahun ini apabila saya yang bertanggungjawab membimbing pasukan di Piala MFL, akan ada lagi pemain berbakat dapat dinaikkan ke Liga Super.

"Dengan pemain-pemain baharu yang ada sudah tentu banyak yang perlu dilakukan dan saya percaya kami mampu untuk terus bangkit selepas ini," katanya memetik laporan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

PENANG

Manzoor (dua dari kanan) mengepalai Penang FC II pada saingan Piala MFL musim ini. — Facebook/PenangFC

Dalam pada itu, dalam aksi pertama kejohanan Piala MFL menyaksikan skuad muda Penang tewas 1-2 kepada PDRM FC.

Bagi Manzoor, nasib pasukan kurang baik apabila melepaskan jaringan mudah kepada pihak lawan dan masih banyak yang perlu diperbaiki dalam usaha mereka untuk mencapai sasaran lima terbaik bagi kejohanan ini.

“Sebenarnya anak buah saya telah mempamerkan aksi yang baik dan seimbang, tetapi itu adalah perlawanan pertama dan sudah pasti kekurangan yang ada masih boleh diperbaiki.

“Perlawanan akan datang (lawan Kedah Darul Aman FC B) kita akan cuba dapatkan tiga mata apatah lagi beraksi di laman sendiri dan saya berharap pasukan ini akan terus menjadi lebih baik pada masa akan datang," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram