Isu naik bas ke Selayang dijawab KDA FC, kongsi 'Energizer' akan tiba lepas selesaikan perkara lain


  • Podium
  • Jumaat, 10 Mei 2024

Sekitar suasana latihan Kedah untuk perlawanan menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Sabtu ini. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC akan memulakan musim Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025 bagi kejohanan Liga Super dengan menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor pada Sabtu ini.

Permulaan Kedah pada musim ini bagaimanapun tidak lengkap seperti tahun sebelumnya apabila skuad Hijau Kuning berkenaan akan memakai jersi pramusim buat sementara waktu disebabkan belum mempunyai sebarang penaja utama.

Selain isu jersi, perjalanan Kedah ke Lembah Klang yang menggunakan bas ekspres juga dianggap berlaku kerana masalah kewangan yang masih belum diselesaikan oleh pasukan Utara tanah air tersebut.

BACA LAGI: Kembali ke pangkuan Sang Kenari, Assifuah mampu jadi 'last piece' buat Kedah berbanding Milos

BACA LAGI: Aksi sulung Liga Super berbaki 2 hari, fans kecewa Kedah masih belum rasmi jersi baharu

Penggunaan bas ekpress akan menyaksikan pemain dan pegawai terpaksa menempuhi perjalanan dari Alor Setar ke Selayang selama enam jam dan ia dibimbangi akan menambah keletihan pasukan.

Sangkaan penyokong bagaimanapun meleset apabila pihak KDA FC memberitahu faktor ingin mengelak daripada penjadualan semula penerbangan menjadi punca kelab lebih memilih untuk menaiki bas daripada pesawat.

"Flight reschedule sehingga menganggu aturan perjalanan pasukan," jawab admin laman Facebook rasmi KDA FC ketika penyokong bertanya mengenai perjalanan pasukan Hijau Kuning berkenaan.

Sementara itu, pasukan dengan lima kali kejuaraan Piala FA tersebut juga berkongsi perkembangan semasa penyerang baharu iaitu Ebenezer Assifuah yang secara rasminya diperkenalkan oleh Sang Kenari pada awal minggu lalu.

Kemunculan bekas penyerang KDA FC B bagi saingan Piala MFL berkenaan difahamkan untuk memainkan peranan sebagai penyerang kedua Sang Kenari di belakang import baharu, Milos Gordic.

"Ebenezer dalam pross selesaikan visa dan dia akan hadir," jawabnya di ruangan komen Facebook KDA FC.

Pemain dengan jolokan 'Energizer' dalam kalangan penyokong itu merupakan penjaring terbanyak dalam Piala MFL dengan meledak 16 gol sekali gus bergelar sebagai pemenang Kasut Emas.

Keputusan Kedah memberi peluang kepada bekas pemain skuad kebangsaan Ghana itu disambut baik oleh penyokong dengan pemain berusia 31 tahun berkenaan mempunyai pengalaman luas dalam Liga M dan mengetahui mengenai selok-belok pasukan Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram