BEK tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat tiba ke saingan Liga Malaysia (Liga M) pada 2022 dengan sambutan hangat dari penyokong tanah air khususnya peminat Harimau Selatan yang sememangnya menunggu pemain berkenaan.
Sambutan penuh keterujaan dan kegembiraan dari penyokong itu hadir berikutan reputasi Jordi sebagai seorang pemain yang mempunyai pengalaman beraksi bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Swansea City.
Tonggak pertahanan skuad kebangsaan Indonesia berkenaan pernah menyertai Swansea City pada 2014 hingga 2017 dan rekodnya membantu kelab itu memalukan pasukan gergasi, Manchester United di khalayak ramai.
BACA LAGI: Lepas pernah dikait ke Turkiye, media Indonesia dedah kelab gergasi India mahu dapatkan Jordi Amat
BACA LAGI: Jordi Amat dedah ada darah diraja, akui tawaran JDT terlalu sukar ditolak
Di sebalik kisah-kisah pemain berusia 32 tahun itu yang beraksi bersama kelab England itu, ramai tidak mengetahui perjalanan Jordi ketika menerima lamaran untuk melebarkan kariernya di saingan EPL pada 11 tahun lepas.
Menurut satu temu bual bersama pemain tengah skuad Sang Garuda, Marc Klok, Jordi menceritakan bahawa dia sukar untuk percaya mendapat lamaran dari jurulatih Swansea ketika itu, Michael Laudrup untuk bermain untuk pasukannya.
"Ketika Michael Laudrup telefon saya, saya berada di apartmen di Madrid bersama abang. Saya beritahu abang saya yang Michael Laudrup mungkin akan telefon saya. Dia mahu saya bermain di Swansea untuk saingan EPL.
"Saya dan abang susah nak percaya sebab ketika itu kita semua melihat EPL adalah liga terbaik di dunia. Ketika itu saya memang cakap, kalau nak jadi penjaga gol atau main sayap pun, sanggup nak pergi," katanya menerusi temu bual bersama Marc dalam rancangannya Marc Talks.
Momen angan-angan dan kesanggupan Jordi untuk bermain apa-apa posisi bersama Swansea menjadi kenyataan apabila Laudrup mengikat pemain campuran Indonesia-Sepanyol itu sebagai bek tengah pasukannya 2013.
Walaupun Jordi alami musim pasang surut dengan dipinjamkan ke Real Betis sebelum kembali setahun kemudian, sehingga akhirnya dipindahkan ke Rayo Vallecano pada Ogos 2018 namun dia masih menganggap beraksi di saingan EPL adalah salah satu pencapaian terbaiknya.
Kini, sepanjang dua musim bersama skuad Harimau Selatan, Jordi berpeluang menikmati pelbagai kejayaan, termasuk satu gelaran Liga Super serta dua kejuaraan Piala FA dan antara pemain import berbaloi pernah dimiliki JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram