Ubi muda JDT, Rozaimi dan pemain berdarah Cameroon antara pemain paling curi tumpuan MFL


  • Podium
  • Rabu, 22 Mei 2024

Ketinggian yang dimiliki Saffy Zikry (kanan) memberinya kelebihan untuk memenangi perebutan bola di udara. — Facebook/PenangFC

SEIRING dengan kehangatan Liga Super yang sedang berlangsung, saingan Piala MFL juga musim ini hadir dengan perubahan apabila akan menampilkan format liga satu kumpulan berbanding format dua kumpulan yang digunakan pada musim 2023.

Badan pengendali, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menjelaskan perubahan format liga itu dilakukan selepas mendapat permohonan daripada pasukan dan sebagai salah satu inisiatif untuk mengukuhkan pembangunan bagi kelompok pemain bawah 23 tahun (B-23).

Musim lalu, kita menyaksikan Terengganu FC II (TFC II) berhasil merangkul trofi kejohanan selepas menewaskan tiga pasukan lagi bagi melayakkan kelab ke pusingan kedua dan seterusnya mara ke final untuk merebut gelaran Juara Piala MFL.

BACA LAGI: Hatrik dalam Piala MFL, bagaikan sudah tiba masanya anak Sarawak ganti Bergson

BACA LAGI: Azam Azih, duo 'ex' JDT patut dalam senarai Fandi Ahmad lawan Kuching City

Tahun ini, menggunakan format liga satu kumpulan sebanyak 13 pasukan muda dari kelab Liga Super musim 2024/2025 akan berentap bagi membuktikan kualiti pemain muda masing-masing.

Walaupun Piala MFL berfokuskan barisan pemain muda tetapi tidak dapat dinafikan banyak pasukan turut menggunakan khidmat tonggak berpengalaman bagi memperkuatkan kelab masing-masing.

Dengan minggu pertama Piala MFL sedang berlangsung, Majoriti menyenaraikan tiga pemain skuad Piala MFL yang wajar jadi tumpuan musim ini;

1) Danish Syamer

WhatsApp Image 2024-05-21 at 20.05.01

Danish Syamer menyarung jersi nombor 33 bersama skuad JDT II. — Instagram/DanishSyamer

Pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Muhammad Danish Syamer Tajuddin antara nama yang perlu diberikan perhatian oleh para penyokong musim ini selepas dia dijangka akan menjadi aset penyerang Harimau Malaya pada suatu hari nanti.

Nama Danish Syamer mula meniti di bibir penyokong apabila kisahnya mendapat lamaran dari kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas menjadi penjaring terbanyak Piala Presiden 2023 dengan 13 gol bersama skuad muda Negeri Sembilan.

Perpindahan ke kem Harimau Selatan ibarat sirih pulang ke gagang susulan penyerang berusia 20 tahun itu merupakan anak jati Muar, Johor dan graduan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Kota Tinggi.

Peluang beraksi bersama kem Harimau Selatan khususnya JDT II, pemenang kasut emas Piala Presiden 2023 itu berpeluang untuk berguru dengan pemain yang jauh lebih berpengalaman seperti bintang pasukan, Gabriel Nistelrooy.

2) Rozaimi Abdul Rahman

rozaimi

Rozaimi ketika perlawanan menentang JDT II pada Isnin. — Facebook/SabahFC

Seperti mendapat peluang kedua dalam kariernya, Rozaimi Abdul Rahman akhirnya kembali semula ke saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan menjadi sebahagian pemain skuad B-23 bagi membantu skuad simpanan Sang Badak dalam saingan Piala MFL.

Peranan Rozaimi dilantik sebagai ikon ataupun senior berpengalaman dalam skuad Sabah FC B-23 itu pastinya untuk membimbing dan menyalurkan pengalamannya sepanjang bergelar pemain profesional kepada ubi muda The Rhinos.

Skil dalam mencetak jaringan gol Rozaimi nyata masih berbisa apabila pemain berusia 31 tahun berkenaan merekodkan dua hatrik dalam perlawanan persahabatan skuad B-23 Sabah menentang Sulaman FC dan Pasukan Pilihan PNDS.

Walaupun tidak mencetak sebarang jaringan ketika Sabah B-23 menentang JDT II pada Isnin yang berakhir dengan keputusan 0-3 namun ramai penyokong berpendapat bahawa Rozaimi mampu kembali ke potensi terbaiknya.

3) Saffy Zikry Ndongo

safry

Saffy Zikry (kiri) mendapat kepercayaan Manzoor untuk mengetuai jentera serangan Penang. — Facebook/PenangFC

Pemain berdarah kacukan Cameroon-Malaysia, Saffy Zikry Ndongo mula mendapat perhatian penyokong ketika aksi persahabatan Penang B-23 menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC yang menyaksikan mereka tewas 0-2.

Usai perlawanan persahabatan itu, ramai penyokong menggelarnya sebagai 'Lukaku Malaysia' dek fizikalnya yang mirip dengan penyerang Belgium berkenaan.

Penyerang muda kelahiran Kuala Lumpur berkenaan difahamkan mempunyai ketinggian 1.92 meter dan fizikalnya itu memberi kelebihan untuk beraksi sebagai penyerang ataupun target man dalam pasukan.

Dalam aksi pertama Piala MFL, jurulatih Penang B-23 iaitu Manzoor Azwira menurunkan pemain berusia 19 tahun itu untuk menjadi taruhan utama bahagian serangan menentang PDRM FC.

Penampilannya pertamanya kurang memberi senyuman kepada penyokong selepas Penang B-23 tewas 1-2 ke atas PDRM B-23. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram