WALAUPUN tumpuan penyokong bola sepak kini ke arah perlawanan Piala Asia Qatar namun ia tidak menghalang daripada gosip-gosip perpindahan mewarnai suasana bola sepak rantau ini.
Selain Liga Malaysia (Liga Malaysia), liga di negara Asia lain juga tidak terlepas daripada khabar angin perpindahan pemain dengan masing-masing pasukan sedang mencari bintang berpotensi untuk dibawa masuk bagi memperkuatkan kelab.
Liga Super India (ISL) misalnya kini sedang rancak bercakap mengenai perpindahan pemain dan menariknya apabila seorang pemain Liga M dikhabarkan berada dalam pemantauan sebuah kelab gergasi India iaitu Mohun Bagan.
Pemain yang dimaksudkan ialah ketua pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Jordi Amat susulan baru-baru ini sebuah portal Indonesia, Bola Sport melaporkan bahawa Mohun Bagan kini mempertimbangkan untuk merekrut bek tengah berkenaan.

Tangkap layar ciapan mengaitkan Jordi dengan Mohun Bagan.
Laporan media Indonesia itu dibuat selepas penyokong skuad The Mariner, MohunBagan_Fan membuat hantaran mengenai desas-desus berkenaan di platform X.
“Mohun Bagan telah pun memulakan persiapan pembinaan pasukan mereka untuk musim 2024-2025.
“Pihak pengurusan telah mengenal pasti pemain antarabangsa Indonesia, Jordi Amat sebagai pilihan meskipun tiada komunikasi dilakukan lagi. Kemungkinan tiada peluang dibawa masuk pada Januari,” kata laman penyokong berkenaan.
BACA LAGI: 'Nope', TMJ nafi Jordi Amat tinggalkan JDT ke kelab Turkiye
Sementara itu, ada juga laporan mengatakan bahawa menyatakan Mohun Bagan mungkin tidak berkemampuan untuk membayar gaji Jordi yang kini antara yang tertinggi di Malaysia.
Pada masa ini, nilai pasaran pemain warisan Indonesia itu dianggarkan pada 1 juta euro (RM5.1 juta) dan ia jelas membuktikan bahawa Jordi antara pemain bernilai dalam saingan Liga M.
Terdahulu semasa jendela perpindahan Julai lepas, bekas pemain Swansea City itu juga dikaitkan mendapat tawaran daripada kelab Turkiye, Trabzonspor dan dikatakan pasukan berkenaan ingin menawarkan kontrak selama setahun kepada bekas pemain La Liga tersebut.
Bagaimanapun, khabar angin tersebut terus dijawab oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang tampil menafikan perkara tersebut menerusi satu pesanan yang ditinggalkan dalam ruangan komen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
