SELEPAS mempamerkan aksi cemerlang menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak dapat menggunakan khidmat pemain import Myanmar, Hein Htet Aung menjelang aksi Liga Super menentang Selangor pada Ahad.
Berita berkenaan jelas mengecewakan penyokong skuad Jang Hobin Jang yang berharap Htet Aung akan menjadi duri dalam daging dalam aksi menentang Gergasi Merah lagi-lagi selepas pemain sayap itu menjadi penjaring pertama merobek gawang dijaga Syihan Hazmi.
Meskipun tewas 1-3 di tangan Harimau Selatan namun Htet Aung menjadi penjaring tunggal buat Negeri Sembilan dalam aksi pertama Liga Super mereka di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.
BACA LAGI: Selangor usah gusar, cita-cita ke Asia tidak akan terpadam
BACA LAGI: [VIDEO] Selamba buat Heberty 'cium rumput', import skuad Jang dialu-alukan ke skuad Harimau Selatan
Namun, pemain berusia 23 tahun itu perlu berehat seketika dari beraksi bersama Negeri Sembilan apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Mohd Faliq Firdaus mengesahkan status Htet Aung sebagai pinjaman dari Selangor FC.
Faliq Firdaus mengesahkan bahawa berdasarkan perjanjian pinjaman pemain di antara Negeri Sembilan dan Selangor bahawa Htet Aung bersama Azrin Afiq tidak akan diturunkan dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Akan tetapi, semuanya akan kembali seperti sedia kala pada pusingan kedua Liga Malaysia apabila perlawanan menentang Selangor dalam pusingan kedua liga di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan nanti.
“Mengikut perjanjian pinjaman kami dengan Selangor FC, Azrin dan Hein tidak akan bermain pada Ahad ini. Tetapi mereka dijangka akan menentang Selangor pada pusingan kedua liga,” katanya menerusi ciapan pada mana Twitter (X) pada Rabu.
Syarat yang diberikan Selangor kepada pemain pinjaman mereka selangkah mengikuti syarat gentlemen agreement yang sering dipakai oleh JDT iaitu tidak membenarkan pihak lawan menggunakan pemain pinjaman apabila mereka berdepan Harimau Selatan.
Dalam pada itu, sebelum ini Majoriti melaporkan status pemain pinjaman Selangor di Penang FC pula iaitu Richmond Ankrah apabila difahamkan skuad Harimau Kumbang tidak boleh menurunkan pertahanan tersebut ketika kedua-dua kelab bertemu.
Sebagai rekod, ia adalah kali pertama Selangor mengenakan syarat berkenaan dalam perjanjian pemain pinjaman terhadap saingan mereka di Liga Super.
Pemain-pemain yang dipinjamkan sebelum ini seperti Azrin Afiq, Nor Hakim Hassan serta Nik Shariff Haseefy semuanya boleh turun menentang Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram