Polis perketat kawalan semua bangunan kerajaan, tempat tumpuan awam


  • 112
  • Selasa, 21 Mei 2024

Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut dalam kejadian berdarah di Balai Polis Ulu Tiram pada Jumaat.

POLIS memperketatkan kawalan di bangunan kerajaan, tempat tumpuan awam dan fasiliti berkepentingan susulan beberapa insiden serangan dan ancaman baru-baru ini.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga dan memperketatkan kawalan keselamatan pada tahap tertinggi.

“Ketua polis negara (KPN) mengarahkan semua peringkat kepimpinan PDRM serta petugas di lapangan mengambil langkah komprehensif semasa menjalankan tugas dengan mematuhi pekeliling, prosedur operasi standard (SOP) dan arahan semasa yang dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan.

BACA LAGI: Hampir 10,000 pelajar sudah sertai MYFutureJobs CEP anjuran PERKESO, 522 buah sekolah bakal miliki peluang sama

BACA LAGI: [VIDEO] Putin guna jet pengiring lepas jadi sasaran ketika hadiri majlis pengebumian Presiden Iran

Jelasnya, pihaknya memandang serius beberapa insiden serangan dan ancaman yang berlaku di tempat awam termasuk beberapa lokasi sensitif dan premis kerajaan sehingga menimbulkan kegusaran kepada masyarakat umum mengenai tahap keselamatan dan ketenteraman negara.

Azmi mengingatkan masyarakat terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan isu keselamatan negara kepada pihak berkuasa.

“Polis tidak akan bertolak ansur kepada anasir yang cuba mengancam keselamatan dan mengganggu gugat ketenteraman awam. Tindakan tegas berlandaskan lunas undang-undang akan diambil tanpa mengira status dan latar belakang mereka yang terlibat,” katanya.

Pada 17 Mei lalu Balai Polis Ulu Tiram, Johor, diserang sehingga mengorbankan dua anggota masing-masing berusia 22 dan 24 tahun, manakala pada 19 Mei seorang lelaki cuba menyerang anggota di Balai Polis Dato Keramat, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, dua lelaki ditahan kerana cuba menceroboh masuk Istana Negara pada 17 Mei. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram