Hampir 10,000 pelajar sudah sertai MYFutureJobs CEP anjuran PERKESO, 522 buah sekolah bakal miliki peluang sama


  • Massa
  • Selasa, 21 Mei 2024

Sebahagian 9,500 pelajar sekolah menengah yang telah menyertai MYFutureJobs Career Exploration Programme anjuran PERKESO.

LEBIH 9,500 pelajar sekolah menengah menyertai MYFutureJobs Career Exploration Programme (CEP) sejak ia diperkenal pada 2023 sehingga 30 April tahun ini anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal, memaklumkan program ini dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif murni bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah atas dalam memberi panduan hala tuju kerjaya kepada mereka sesuai dengan pasaran kerja semasa berdasarkan minat dan kemahiran yang dimiliki.

“CEP ini membuka pintu minda para pelajar dalam membuat pilihan bidang pengajian serta hala tuju kerjaya setelah tamat pengajian.

BACA LAGI: [VIDEO] Putin guna jet pengiring lepas jadi sasaran ketika hadiri majlis pengebumian Presiden Iran

BACA LAGI: Penemuan mayat bayi perempuan di parkir pangsapuri bukan sebab dibunuh — Polis

DSC05074

Sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh PERKESO bagi memberi pendedahan kepada pelajar dalam memberi panduan hala tuju kerjaya.

"Selain itu, CEP turut mewujudkan kesedaran terhadap potensi diri sekali gus berupaya mengaplikasikan kemahiran dan pengetahuan yang telah dicungkil secara proaktif, kreatif serta inovatif dalam pemilihan institusi pendidikan sekali gus boleh membantu pelapis generasi hadapan ini dalam urusan pemilihan kerjaya demi masa hadapan mereka.

“Berdasarkan perangkaan PERKESO, sejak Mei 2023 sehingga 30 April 2024, sebanyak 96 buah sekolah merangkumi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak dan Pahang telah menyertai program ini dan kita mensasarkan sekurang-kurangnya 522 sekolah di seluruh Malaysia meliputi sekolah pelbagai aliran menerusi kerjasama strategik bersama PINTAR Foundation,” jelasnya.

Subahan juga memaklumkan, rekod kadar ketidakpadanan pekerjaan graduan mencatatkan penurunan signifikan kepada 18.2 peratus pada tahun 2023 berbanding 40.5 peratus tahun sebelumnya, hasil usaha positif pegawai penempatan pekerjaan PERKESO dengan sokongan Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs dalam menempatkan siswazah dalam kumpulan pekerjaan berkemahiran tinggi yang pernah diumumkan sebelum ini.

“Rentetan itu, program CEP ini dilihat signfiikan serta berupaya untuk turut sama menyumbang kepada penciptaan potensi dan keupayaan pelajar sekali gus memberi harapan kepada pelapis baharu negara untuk merancakkan lagi pasaran buruh dan membantu perkembangan ekonomi Malaysia,” ujar beliau lagi.

CEP anjuran MYFutureJobs yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Sentul ini turut dihadiri oleh Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO, Azirruan Arifin, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru SMK La Salle, Zainoddin Ramelan dan Pengetua SMK La Salle, Krishna Kumarie A/P Naidu sebagai menzahirkan sokongan serta memberi suntikan motivasi serta semangat kepada para pelajar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram