[VIDEO] 'Malaysia sangat kuat', kapten Jepun akui ‘koyak’ berdepan Ultras PSM


  • Podium
  • Isnin, 20 Mei 2024

Antara aksi Haruhara (jersi berwarna merah nombor tiga) ketika perlawanan menentang Malaysia sebelum tewas 0-2 bagi acara double. — Facebook/WarisanTakraw

SORAKAN, dentuman gendang serta dram dari ultras Persatuan Takraw Malaysia (PSM) berjaya merencatkan persembahan Jepun dalam aksi menentang Malaysia bagi acara double divisyen premier kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Ahad.

Pasukan Malaysia yang diwakili gandingan Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Baihakki A'ripin tidak berdepan masalah untuk menewaskan Jepun 2-0 dengan merekodkan kemenangan bergaya 15-9, 15-3 ke atas Ryota Haruhara, Yuki Sato dan Ryo Nakajima.

Selain persembahan penuh penelitian dari anak-anak buah Ahmad Jais Baharun, sokongan penyokong terutama sorakan berbentuk chant dari ultras PSM berjaya mengganggu fokus pasukan pelawat.

BACA LAGI: Skuad sepak takraw negara perlukan wajah baharu — Kapten

BACA LAGI: Sepak takraw kuadran, 'senjata' Malaysia pecah dominasi Thailand

Ketua pasukan double Jepun, Ryota Haruhara berkongsi bahawa suasana di Stadium Titiwangsa nyata menganggu emosi dia dan rakan sepasukan sehingga merosakkan sedikit gaya permainan mereka.

"Malaysia sangat kuat dengan corak permainan mereka begitu bagus tapi ia memang perlawanan yang mengujakan pada hari ini. Penonton di sini begitu meriah dan ada sokongan tambahan dari ultras.

"Saya kagum melihat suasana di stadium ini sehingga ia menganggu fokus dan gaya permainan kami," katanya kepada Majoriti selepas ditemui usai perlawanan di Stadium Ttiwangsa itu.

Dalam pada itu, Haruhara juga tidak menafikan bahawa keputusan juri sedikit menimbulkan kontroversi terutama apabila mereka meminta challenge namun diendahkan oleh pegawai bertugas.

Begitu pun, Haruhara yang juga berperanan sebagai pengumpan berkata, ia masih perlawanan yang adil dan pada akhirnya skil dan persembahan yang kemas adalah kunci untuk meraih kemenangan jika menentang pasukan hebat seperti Malaysia.

"Malam ini mungkin kalah tapi untuk perlawanan seterusnya saya dan rakan sepasukan akan bangkit untuk mendapatkan mata.

"Sangat susah nak jangka keputusan juri tapi dalam sukan sangat penting mengambil kira keputusan juri. Tapi dalam sukan ini skil lagi penting. Masih fair play walaupun ada sedikit insiden keputusan juri yang menganggu kami," jelasnya.

Biarpun tewas, harapan untuk ke peringkat kalah mati masih terbuka apabila mereka merakam kemenangan pertama ke atas Brunei 15-13, 15-10 sambil mengharapkan Malaysia mencatat kemenangan ke atas Brunei dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada Isnin.

Untuk perlawanan kedua, pasukan tanah air akan menentang Brunei pada 9.30 malam Selasa dan sekiranya menang, Malaysia muncul juara kumpulan dan bakal bertemu naib johan Kumpulan D sama ada Korea Selatan atau Singapura di suku akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram