Perubahan sistem 15 mata jimatkan kos, relevan ikut keadaan semasa — Pengadil


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mei 2024

Malaysia akan berentap dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw bermula 18 Mei ini.

KEJOHANAN Piala Dunia Sepak Takraw 2024 akan membuka tirainya bermula 18 Mei hingga 26 Mei yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Menariknya kejohanan tersebut, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mewajibkan pelaksanaan sistem kiraan 15 mata bagi semua pertandingan domestik dan antarabangsa bermula 1 Februari 2024.

Oleh itu, setiap regu kini memperoleh satu servis sahaja berbanding tiga sebelum ini bagi semua pertandingan di dalam dan luar negara.

BACA LAGI: 'Sistem 15 mata jadi kelemahan Thailand, beri peluang Malaysia julang Piala Dunia di laman sendiri'

BACA LAGI: Piala Dunia beri peluang tingkat kredibiliti pengadil sepak takraw tempatan — PSM

Pemain Sepak Takraw

Barisan pemain Malaysia yang menggalas tugas untuk mewakili Piala Dunia Sepak Takraw 2024. — Facebook/PSM

Mengulas lanjut mengenai sistem mata baharu itu, pengadil Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) Port Dickson, Negeri Sembilan, Mohd Fitri Bin Basiran berpendapat bahawa sistem tersebut bukanlah satu perubahan yang drastik dalam sukan berkenaan.

"Bagi saya ia bukanlah satu masalah, perubahan sistem 15 mata tiadalah drastik betul, bagi saya benda itu baik dan lebih mesra pengguna.

"Mungkin dalam kalangan pemain agak sukarlah untuk mereka terima tapi sebagai pengadil ia adalah perubahan yang releven mengikut keadaan semasa," katanya kepada Majoriti.

Fitri yang juga merupakan pensyarah di Politeknik Port Dickson itu turut berpandangan bahawa sistem berkenaan mudah dikuasai oleh setiap pemain.

Pengadil Sepak Takraw

Seramai 25 pengadil tanah air dinaikkan pangkat ke pengadil bertaraf Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa dan Persekutuan Sepak Takraw Asia.

Tambahnya lagi, perubahan itu mempunyai kebaikan seperti dapat menjimatkan kos.

"Perubahan sistem 15 mata itu taklah sukar dan boleh dikuasai dengan baik.

"Bukan itu sahaja, kita dapat lihat dari segi kos, contohnya, dapat menjimatkan kos sewa stadium," kongsinya.

Ditanya mengenai pelaksanaan sistem 'Challenge' dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, Fitri yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam mengadili sukan tersebut berkata, sistem itu akan memberikan keputusan yang adil bagi semua pemain dan pasukan.

"Penggunaan sistem 'Challenge' memang sesuai untuk mana-mana sukan dan pendapat saya ia relaven dalam memberi kepuasan kepada pemain pasukan dan pengadil.

"Kita fikir dari segi positif yang mana kita boleh belajar dari kesilapan apabila menonton semula video aksi tersebut," jelasnya.

Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama China dan Brunei bagi acara regu dan dalam Kumpulan C bersama Jepun dan Brunei bagi acara berpasukan dalam kejohanan itu.

Manakala, acara team event pula menyaksikan Brunei dan Jepun sebagai pesaing Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram