Sepak takraw kuadran, 'senjata' Malaysia pecah dominasi Thailand


  • Podium
  • Sabtu, 09 Dis 2023

Sepak takraw kuadran dimainkan oleh empat pemain setiap pasukan. — Agensi

SEPAK takraw merupakan salah satu daripada sukan tradisional negara kita. Berakar umbi daripada permainan sepak raga, sepak takraw kemudiannya berkembang sehingga dimainkan hampir seluruh dunia.

Sama seperti sukan lain, sepak takraw juga mengalami evolusi yang tersendiri. Daripada menggunakan format regu (tiga pemain), cabang sukan ini mula meluas apabila terhasilnya format beregu (dua pemain) dan juga chinlone.

Kini, sepak takraw sudah mempunyai format baharu yang dikenali sebagai kuadran. Format kuadran ini dimainkan dengan setiap pasukan akan menurunkan empat pemain.

Menurut jurulatih pasukan Hulu Selangor bagi kejohanan Karnival Sukan Selangor (SUKSES 2023), Ahmad Shah Abd Rani, sepak takraw kuadran ini diperkenalkan oleh Malaysia sebagai usaha memecahkan dominasi Thailand.

"Format ini diperkenalkan oleh Malaysia sekitar tahun 2016. Ketika ia dipertandingkan dalam Piala Raja Thai di Bangkok pada tahun yang sama, kita telah berjaya memperoleh pingat emas.

"Format kuadran ini terus mendapat perhatian apabila dia dipertandingkan buat pertama kali dalam saingan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur," kata Ahmad Shah kepada Majoriti.

Selepas daripada itu, format kuadran ini semakin berkembang dengan ia mula dipertandingkan dalam pelbagai kejohanan utama seperti Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang serta Piala Dunia ISTAF.

401230335_18364275172074718_8821305152562332577_n (1)

Ahmad Shah (memegang mikrofon) merupakan jurulatih sepak takraw Hulu Selangor untuk SUKSES 2023. — Facebook/MSN Selangor

Bagaimana ia dimainkan?

Seperti yang dinyatakan, sepak takraw kuadran ini dimainkan dengan format empat pemain setiap pasukan.

Format ini bersifat fleksibel berbanding acara regu. Hal ini kerana, dalam sepak takraw kuadran, kesemua pemain bebas untuk menjadi tekong, feeder atau pun killer. Situasi ini berbeza dengan acara regu kerana setiap pemain sudah ditetapkan dengan tugas (role) mereka.

Cara servis dalam format kuadran ini juga berbeza dengan regu. Dalam sepak takraw kuadran, servis akan dilakukan secara sendirian oleh seorang pemain dari luar garisan gelanggang.

Sementara tiga rakan yang lain akan menanti di jaring sebelum berpecah ke kedudukan masing-masing.

401295558_18364275163074718_6188599738590716391_n (1)

Servis dalam sepak takraw kuadran menggunakan cara berbeza berbanding acara regu. — Facebook/MSN Selangor

Usaha pecahkan dominasi Thailand

Dominasi Thailand dalam sepak takraw sememangnya tidak boleh dinafikan. Sebagai musuh tradisi mereka untuk berzaman lamanya, amat sukar bagi Malaysia untuk menerima hakikat keunggulan Gajah Perang.

Disebabkan itu, muncullah sepak takraw kuadran. Selepas melihat potensi Malaysia dalam format ini, terbit keyakinan yang negara kita boleh kembali menguasai dunia sepak takraw.

"Pada pandangan saya acara kuadran amat sesuai diadakan kerana dapat menghalang penguasaan Thailand dalam acara regu dimana Thailand memiliki senjata servis kuda yang amat laju," kata Ahmad Shah.

Walaupun terdapat potensi untuk menjadikan Malaysia kuasa sepak takraw kuadran dunia, Ahmad Shah berharap pihak-pihak bertanggungjawab mengambil inisiatif mengembangkan format ini ke tahap sepatutnya.

Sebagai jurulatih sepak takraw di peringkat akar umbi, Ahmad Shah melihat dengan jelas kurangnya usaha untuk membesarkan pool talent serta platform pemain-pemain kuadran menonjolkan bakat mereka.

71699100838_sepaktakraw

Malaysia bakal anjurkan Piala Dunia ISTAF pada 2024. — Agensi

"Pada saya, kategori kuadran ini perlu diperkenalkan di peringkat akar umbi seperti di Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Dearah (MSSD), Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri (MSSN) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

"Harapan saya agar kategori kuadran ini diperkasakan dan diteruskan dengan pelbagai penganjuran kejohanan bagi kategori ini.

"Saya juga berharap kategori kuadran ini terus berkembang di Malaysia dan berharap agar pasukan Malaysia dapat menakluk kategori kuadran ini di persada dunia," ujar Ahmad Shah.

Usaha Ahmad Shah di peringkat akar umbi berjalan dengan baik, kini tinggal pihak seperti Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengambil langkah proaktif meningkat kualiti sukan tersebut buat negara.

Dengan Malaysia akan menjadi tuan rumah Piala Dunia ISTAF 2024 pada bulan Mei, sudah pastinya mereka akan membawa pulang gelaran juara terutamanya dalam format kuadran di depan penyokong sendiri.

Pada satu masa, Malaysia pernah mengalami saat kejatuhan dalam sepak takraw, kini waktunya telah tiba untuk kembali bangkit dan terus kekal sebagai pelopor sukan ini di mata dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram