DEBARAN menjelang Sukan Malaysia (Sukma) yang bakal diadakan di Sarawak bermula pertengahan Ogos nanti pasti semakin dirasai kontinjen setiap negeri.
Selain mengadakan latihan bagi setiap kategori dipertandingkan, atlet juga pastinya sudah dipersiapkan dengan menghadiri kursus khas untuk menyuntik semangat dalam diri masing-masing.
Persiapan tersebut dibuat demi memastikan kedudukan lebih baik diraih dalam edisi kali ini berbanding penganjuran dua tahun lalu di Kuala Lumpur.
BACA LAGI: Johor optimis muncul juara Sukma buat kali pertama dalam tempoh 36 tahun
BACA LAGI: Sukma 2024 sasaran team Selangor raih Top 3
Nizam mahu kerjasama pelbagai pihak untuk mempersiapkan kontinjen Sukma. — Instagram/MSN Selangor
Antara negeri yang bercita-cita besar untuk Sukma Sarawak adalah Selangor yang berada di tangga kelima pada 2022 dengan 127 pingat dibawa pulang.
Jadi, selepas dua tahun melakukan persiapan, pihak pengurusan sudah tentu bercita-cita besar untuk membuktikan anak jati negeri memiliki potensi cukup hebat berbanding pencabar lain.
Malah, bagi penganjuran kali ini, satu misi besar diletakkan dengan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Nizam Marjugi mahu kedudukan lebih baik diraih mereka.
"Sebagaimana yang dimaklumkan Exco Belia dan Sukan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi sebelum ini, kontinjen Selangor menyasarkan kedudukan tiga teratas pada Sukma kali ini. Kita menyasarkan 13 hingga 15 peratus daripada keseluruhan pingat dipertandingkan.
"Harapan saya untuk kontinjen Selangor pada Sukma kali ini adalah agar semua yang terlibat dalam menyediakan pasukan dan atlet, termasuklah persatuan sukan negeri, pengurus pasukan, jurulatih dan pegawai MSN Selangor sentiasa bersedia memberikan komitmen dan fokus sepenuhnya dalam mempersiapkan atlet," katanya kepada Majoriti.
Empat atlet dihantar untuk menyertai pertandingan di Korea Selatan. — Instagram/MSN Selangor
Berdasarkan perkongsian di laman media sosial MSN Selangor, pelbagai persiapan sudah dilakukan dengan beberapa atlet dihantar untuk menyertai pertandingan di seluruh negara.
Selain itu, empat orang atlet dari Pasukan Angkat Berat dan Tenpin Bowling Selangor turut dihantar ke Korea Selatan untuk berentap dalam Festival Sukan Gyeonggi-do.
Persiapan berkenaan sudah tentu cukup untuk meletakkan kontinjen negeri ke kedudukan lebih baik berdasarkan sasaran ditetapkan barisan kejurulatihan dan pengurusan MSN sendiri.
"Setakat ini, kesemua jenis sukan sedang dalam latihan intensif bagi mempersiapkan pasukan masing-masing menjelang tarikh akhir untuk mengeluarkan senarai pendek atlet sebelum ke Sukma.
"Persiapan kontinjen adalah sangat baik dan mengikut jadual seperti yang dirancangkan. Penumpuan diberikan kepada sukan yang menjadi sasaran utama untuk mendapatkan pingat," tambah Nizam lagi.
Dalam saingan Sukma kali ini, sebanyak 488 acara untuk 37 jenis sukan akan dipertandingkan dengan saingan sengit dapat dijangka daripada kesemua negeri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram