PERNAH menjadi kebanggaan Pulau Pinang, kemudahan sukan bertaraf tinggi yang melahirkan beberapa pemain antarabangsa, Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David di Bukit Dumbar, Pulau Pinang kini dalam keadaan kritikal.
Bangunan yang dimiliki oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu kelihatan seperti tapak terbiar apabila ia tidak lagi dijaga dengan rapi.
Bendera Jalur Gemilang, Pulau Pinang dan PBAPP yang masih berkibar pada tiang di luar juga dilihat usang dan lusuh, sama seperti kompleks tersebut.
BACA LAGI : Elak berhutang, penjawat awam boleh guna Akaun Fleksibel KWSP jadi tabung kecemasan — Cuepacs
BACA LAGI : 'Kempunan mata penuh', Haziq Nadzli antara 3 bintang kelab kerdil resahkan Kedah, Pahang dan Terengganu
Pusat latihan para pemain sukan skuasy Malaysia. — Pelapis's Training Centers
Menurut bekas Ahli Jawatankuasa Persatuan Raket Skuasy Pulau Pinang (SRAP), bangunan itu bagaimanapun masih digunakan untuk dijadikan tempat latihan para pemain.
Sambil meluahkan rasa kecewanya terhadap pengurusan pusat itu, beliau menggesa agar pihak bertanggungjawab melakukan penambahbaikan segera.
"Terdapat 12 gelanggang tetapi empat dikhaskan untuk kejohanan dan kegunaan profesional.
"Lapan yang lain dalam keadaan menyedihkan. Pihak pengurusan enggan membuka gelanggang simpanan walaupun selebihnya telah digunakan.
"Lantai tidak rata di beberapa gelanggang dan menimbulkan risiko kecederaan. Sebagai pemain, saya telah menyuarakan kebimbangan berkali-kali," katanya.
Beliau mendakwa, pengurusan tertinggi yang dikuasai oleh 'individu berpengaruh' sudah tidak mengambil tahu tentang operasi tempat itu, malah mengharapkan beberapa jurulatih kanan sahaja.
"Mereka juga berpengaruh dalam menentukan siapa yang menyertai persatuan dan siapa yang akan dipilih," katanya lagi.
Presiden Persatuan Raket Skuasy Pulau Pinang, Datuk Linda Geh kemudiannya mengakui persatuan itu sedang bergelut untuk mengekalkan kompleks itu dengan mendapatkan pembiayaan luar yang terhad.
"Kami kini sedang mencari sebut harga untuk naik taraf dan penambahbaikan serta telah berbincang dengan PBAPP, pemilik tempat termasuk kerajaan negeri.
"Beberapa jubin lantai usang yang berusia lebih 20 tahun pula sudah tidak rata. Ia akan menelan belanja berjuta-juta untuk pembaikan," tambahnya.
Kompeks tersebut merupakan lokasi pertama dalam detik bersejarah Nicol. — The Star
Beliau berkata, PBAPP kali terakhir membaik pulih kompleks itu pada 2000 apabila Pulau Pinang menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma).
Ia kemudiannya dijadikan tempat antarabangsa dengan penambahan empat gelanggang galeri dan sistem penyaman udara.
Bagaimanapun, Geh berkata, ia tidak seperti gelanggang badminton malah lebih sukar untuk mendapatkan dana daripada menyewa gelanggang skuasy.
SRAP mengenakan bayaran RM10 (RM5 untuk pelajar) menggunakan gelanggang selama 45 minit dari 12.30 tengah hari hingga 4 petang, dan RM12 untuk kegunaan semua dari 4 petang hingga 9.30 malam setiap hari.
"Tidak seperti badminton, skuasy memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan bukannya penjanaan hasil," katanya.
Walaupun berdepan cabaran, Geh berkata, kompleks itu akan terus menganjurkan acara, termasuk Litar Remaja Kebangsaan dari 15 hingg 19 Mei ini dan Edisi Ke-20 Terbuka Remaja Malaysia Pulau Pinang yang akan bermula 11 hingga 16 Jun depan.
Bekas legenda skuasy negara, Datuk Nicol David dan PBAPP bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung keadaan pusat itu.
Untuk rekod, kompleks tersebut adalah lokasi juara dunia, Nicol pertama kali memulakan karier sukannya.
Gelanggang pusat itu juga kini sedang digunakan untuk latihan pemain skuad negeri yang akan bertanding dalam Sukma Sarawak pada Ogos depan.
Bangunan itu pada mulanya dikenali sebagai Pusat Skuasy Pepsi pada 1987 sebelum dinamakan semula sebagai Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David pada Ogos 2010. — The Star/LO TERN CHERN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram