SELANGOR akan melakukan bedah siasat bagi mengenal pasti faktor yang menyebabkan mereka meraih posisi kelima acara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) 2022
Perkara itu dimaklumkan Exco Generasi Muda, Sukan & Modal Insan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman selain melihat punca gagal berada dalam kedudukan tiga teratas.
"Kami dalam proses postmortem (bedah siasat) kenapa berada di tangga kelima.
"Tidak hanya itu kita juga akan melakukan postmortem bagi mengetahui bagaimana Johor dapat meninggalkan negeri lain terlalu jauh.
"Jadi kita hendak tahu kenapa sama ada kita ada kekurangan atau apa faktor-faktor lain. Bagaimanapun saya tetap yakin dan Insya-ALLAH sasaran untuk berada di kumpulan tiga teratas akan tercapai," katanya selepas melawat keluarga Allahyarham Muhaimin Mohd Sain@ Mohd Said di Jalan Haji Musran, Rantau Panjang, Klang, Selangor pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohd Khairuddin turut memuji barisan atlet Selangor yang berjaya membawa pulang 31 pingat emas meskipun sasaran awal sebanyak 40.
Pasukan Gimrama mendapat pingat PERAK menerusi acara Group Exercise - Ball.
Bagaimanapun kontinjen berjaya meraih 55 pingat perak meskipun menyasarkan 40 pingat perak.
"Jika bertanya sama ada atlet sudah memberikan yang terbaik atau tidak, pada saya ya. Kita sudah buat yang terbaik sebab jika dilihat semula kita sebenarnya banyak dapat masuk ke peringkat akhir.
"Apa pun kedudukan kelima ini masih lagi dalam senarai Top 5 walaupun kita mengharapkan Top 3.
"Kejayaan ini hasil daripada usaha keras semua kakitangan kita di negeri Selangor dan persatuan yang terlibat sepanjang menjayakan Sukma," jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Nizam Marjugi berkata, mereka hanya memiliki tempoh tiga bulan untuk menyediakan barisan atlet yang masuk bertanding.
Selangor hanya memiliki atlet berusia 21 tahun ke bawah berbanding negeri lain yang mana rata-ratanya berumur 23 tahun.
"Boleh dikatakan hanya 20 peratus sahaja atlet berusia 23 tahun yang mana berbeza jika dibandingkan dengan negeri lain kerana rata-rata memiliki atlet berumur 23 tahun.
"Sebagai contoh acara kombat melibatkan atlet berumur 23 tahun hendak berlawan dengan pemain 19 tahun. Jurang usia itu tentu sahaja akan mengakibatkan atlet 19 tahun dia tidak dapat mencapai tahap kekuatan atlet 23 tahun.
"Insya-ALLAH pada 2024 kita menyasarkan untuk kembali berada dalam senarai Top 3," jelasnya.
Sukma berlangsung pada 16 hingga 24 September 2022 melibatkan 223 acara lelaki, 184 wanita dan 19 campuran daripada 31 jenis sukan memperlihatkan Johor menyandang gelaran juara, Terengganu di kedudukan kedua, Wilayah Persekutuan ketiga manakala Sarawak di tempat keempat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram