Tak pulang beraya, mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram simpan hajat mahu rai hari lahir ibu


  • Massa
  • Jumaat, 17 Mei 2024

Ayah kepada Allahyarham Muhamad Syafiq tidak menyangka anaknya menjadi mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram.

AHMAD Said Md Piah, 65, menyangka berita mengenai kematian anaknya, Konstabel Muhamad Syafiq dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor itu hanyalah cerita rekaan.

Namun, setelah mendapat panggilan telefon daripada pihak polis yang memaklumkan mengenai perkara itu sekitar pukul 8 pagi, dia yang ketika itu berada di kebun tidak menyangka kejadian itu benar-benar menimpa anak ketujuh daripada lapan beradik itu.

“Saya ingat orang hanya buat cerita atau scam (penipuan). Ada polis telefon maklumkan berkenaan kejadian itu, agak sukar nak percaya bila orang cakap anak pak cik, Syafiq meninggal dunia kena tembak, memang tak sangka betul.

BACA LAGI: Lapan individu dipanggil beri keterangan bantu siasatan kes resit pesanan piza hina Islam

BACA LAGI: Suspek serang Balai Polis Ulu Tiram bawa 'shield', mahu rampas senjata api — KPN

Mangsa Ulu Tiram

Dua anggota polis yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Jumaat.

“Saya balik rumah cakap dengan isteri kemudian tanya abang arwah yang kerja polis di Kuala Lumpur dan dia cakap benda itu betul arwah kena tembak,” katanya dalam sebak ketika ditemui di kediamannya.

Menurut Ahmad Said yang juga pesara tentera, Syafiq sangat meminati kerjaya anggota polis sehingga sanggup berhenti belajar dalam bidang forensik di sebuah kolej di ibu negara demi menyertai pasukan Sang Saka Biru.

“Selepas tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Syafiq sambung belajar dua tahun di kolej itu sebelum berhenti untuk masuk polis. Dia memang berhasrat untuk menyambung kembali pengajiannya selepas itu,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa Aini Mohd Shariff, 57, berkata, anaknya itu seorang yang patuh kepada ibu bapa dan kerap menelefon untuk bertanya khabar sejak mula bertugas di balai berkenaan tahun lalu.

“Raya tahun ini arwah tak balik, tapi dia ada telefon sebab nak dekat hari jadi mak cik. Arwah tanya nak makan apa nak belanja. Betul (belanja), kawan Syafiq ada datang rumah hantar makanan.

“Arwah juga berhasrat mendirikan rumah tangga tetapi mak cik nasihat tangguh dulu sebab baru kerja dan arwah bersetuju, arwah memang jenis ikut cakap mak. Kita sayang anak tapi ALLAH lebih menyayangi dia, mak cik reda,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram