Pentingkah menang lawan Denmark? Zii Jia penentu raih kelebihan psikologi


  • Podium
  • Selasa, 30 Apr 2024

Lee Zii Jia menjadi watak penting negara dalam usaha menewaskan Denmark. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

SELEPAS berjaya mendapatkan kemenangan ke atas Hong Kong serta Algeria, Malaysia mengesahkan tempat di suku akhir Piala Thomas.

Tiket ke suku akhir telah pun ditempah, kini apa yang tinggal adalah perhitungan untuk menentukan siapakah juara kumpulan D sama ada ia milik kita atau Denmark.

Dengan kedua-dua negara merangkul keputusan 5-0 bertemu dua lawan pertama, pertarungan yang akan diadakan pada Selasa dijangka sengit kerana kualiti hampir serupa dimiliki Malaysia serta Denmark.

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan menyingkap keperluan Malaysia menaikkan gear berdepan Denmark kerana pertarungan yang menanti adalah ibarat perang dan bukannya sebuah pertarungan kecil lagi.

Momentum milik Zii Jia

Sekali lagi, Malaysia akan mengharapkan perseorangan utama negara iaitu Lee Zii Jia bagi mendapatkan mata penting bertemu Denmark.

Bakal turun berdepan jaguh dunia, Victor Axelsen, momentum nyata berada pada tangan Zii Jia selepas turun dua perlawanan bertemu Hong Kong serta Algeria.

Apa yang menariknya adalah dalam dua perlawanan tersebut, Zii Jia mendapatkan kemenangan dengan ia diraih menerusi straight set ketika bertemu Lee Cheuk Yiu dan Adel Hamek.

Sebagai perbandingan, Axelsen pula telah melepaskan satu set daripada dua perlawanan apabila dia tewas 18-21 di set kedua berdepan Cheuk Yiu. Namun begitu, dia berjaya menang menerusi rubber set.

BACA LAGI: Piala Thomas: Malaysia mula langkah kanan, menang 5-0 bertemu Hong Kong

VIktor-Axelsen-980x550

Victor Axelsen akan menjadi pencabar Zii Jia. — Agensi

Bateri telah dicaj

Di sebalik persembahan sempurna bertemu Algeria, Malaysia turut meraih satu lagi 'kemenangan' dalam perlawanan tersebut.

Selain menang di gelanggang, Malaysia turut gembira apabila dalam perlawanan tersebut mereka dapat merehatkan beberapa pemain sebelum aksi berdepan Denmark.

Perseorangan kedua, Leong Jun Hao, serta pemain beregu Goh Sze Fei serta Aaron Chia direhatkan dengan peluang dibuka buat Cheam June Wei serta pasangan ketiga iaitu Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

Dengan Jun Hao, Sze Fei dan Aaron dijangka akan kembali untuk aksi bertemu Denmark, Malaysia pastinya akan memperoleh manfaat daripada keputusan mereka merehatkan trio tersebut.

Bateri telah pun dicaj, pastinya Malaysia lebih bersedia untuk menggempur Denmark kelak.

BACA LAGI: Fokus buru Piala Thomas, ketepikan isu luar gelanggang — Roslin Hashim

4TUC_Aaron-Chia-Teo-Ee-Yi-scaled

Aaron Chia (kiri) direhatkan ketika bertemu Algeria. — Agensi

Ini adalah perang

Pertarungan menentang Denmark ini bukan lagi sebuah pertarungan biasa, sebaliknya adalah perang antara dua negara yang sedang memburu gelaran juara kumpulan.

Denmark boleh menjadi penanda aras buat Malaysia. Jika mereka berjaya menang ke atas pasukan Eropah itu, ia boleh menjadi penanda kemampuan Malaysia serta memiliki kelebihan psikologi bila berdepan jaguh badminton lain di peringkat kalah mati.

Di sini, segala cabaran bermula buat Malaysia. Fokus harus diletakkan pada tahap tertinggi dan segala kesilapan yang boleh menghadiahkan mata buat Denmark mestilah dicegah.

Jika Malaysia serius memburu kejuaraan yang pertama selepas 1992, mereka harus anggap ini sebagai perang dan bukan lagi pertarungan biasa.

Malaysia akan bertemu Denmark pada aksi terakhir kumpulan pada pada Selasa, 30 April pukul 5 petang waktu tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram