KETUA Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui anak buahnya memerlukan masa untuk mendapatkan tahap kecergasan yang terbaik untuk mengharungi Liga Super musim ini.
Kim Swee mengakui, anak buahnya sedikit bergelut dengan tahap kecergasan masing-masing dan memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan momentum yang terbaik.
Pasukan Sabah dilihat sedikit bergelut dengan prestasi sehingga mereka terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan keputusan seri tanpa jaringan berdepan Penang FC dalam perlawanan minggu pertama Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad lalu.
BACA LAGI: Cemerlang di Piala MFL, bintang muda Tok Gajah mahu terus gegar Liga Super
BACA LAGI: Faisal Halim boleh jumpa anak dari jauh, sempat 'request' nasi ayam penyet
Ramon Machado dijangka tidak dapat turun beraksi perlawanan berdepan Kelantan Darul Naim akibat mengalami kecederaan. — Facebook/Sabahfc
Menurutnya, sudah pasti ia bukan suatu keputusan yang diinginkan lebih-lebih lagi beraksi di halaman sendiri namun Kim Swee optimis anak buahnya mampu memperagakan aksi yang lebih baik menentang Kelantan Darul Naim FC nanti.
“Mana-mana jurulatih pun tidak akan berpuas hati dengan satu mata tapi saya percaya kita akan buat lebih baik dalam perlawanan menentang Kelantan nanti”, katanya.
Tambahnya lagi, penyerang import kelahiran Brazil, Ramon Machado de Macedo mungkin tidak dapat turun beraksi disebabkan kecederaan yang dialaminya.
“Setakat ini, Ramon Machado masih mengalami kecederaan”, kongsinya.
Walau bagaimanapun, pengendali berusia 53 tahun itu tetap yakin skuad The Rhinos mampu bangkit memperagakan aksi yang lebih baik dalam pertemuan menentang pasukan KDN FC di Kota Bharu, Kelantan nanti.
“Untuk pertemuan ini, kami akan cuba berikan yang terbaik untuk mendapatkan tiga mata pertama kami”, tambahnya lagi.
Sabah akan berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan untuk berdepan KDN FC dalam perlawanan kedua liga yang akan berlangsung pada 17 Mei ini. — MFL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram