SAINGAN Piala FA bagi musim 2024/25 kini kembali sekali lagi menjadi pentas buat pasukan Liga Malaysia untuk mengejar slot beraksi di peringkat Asia.
Undian Piala FA yang berlangsung pada Khamis menyaksikan sebanyak 16 pasukan akan bersaing untuk kejohanan berkenaan.
Selain penyertaan daripada 13 pasukan Liga Super, tiga lagi kelab Liga A1 Semi Pro diberi peluang untuk berentap menentang jaguh-jaguh liga bola sepak tertinggi antaranya Kuala Lumpur Rovers FC, Bukit Tambun FC dan Malaysian University.
BACA LAGI: Mana-mana jurulatih pun tidak akan berpuas hati... — Kim Swee
BACA LAGI: Cemerlang di Piala MFL, bintang muda Tok Gajah mahu terus gegar Liga Super
Tiga pasukan Liga A1 Semi Pro yang diberi peluang untuk berentap menentang jaguh-jaguh liga bola sepak tertinggi tanah air. — Facebook/MFL
Selepas undian dijalankan, pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal menerima kunjungan Kelantan Darul Naim FC ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor dalam aksi pertama.
Kedah Darul Aman FC memperoleh laluan lebih mudah apabila berdepan cabaran pasukan Liga A1 Semi Pro, Bukit Tambun FC, sementara naib juara Piala FA 2023, Kuala Lumpur (KL) City FC akan menentang Kuching City FC.
Selangor FC pula akan melayan kunjungan Negeri Sembilan FC, manakala Terengganu FC bakal menentang Perak FC setelah pertemuan Liga Super 2024/25 memihak kepada skuad Peteh dengan keputusan 3-1 pada 11 Mei lalu.
Pasukan Sri Pahang FC akan menghadapi tentangan Penang FC dan PDRM FC akan menghadapi cabaran satu lagi wakil Liga A1 Semi Pro, Malaysian University.
Sabah FC di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee dilihat menghadapi satu laluan mudah apabila dijadualkan bertemu Kuala Lumpur Rovers.
Aksi pusingan 16 terbaik Piala FA bakal berlangsung dengan satu perlawanan sahaja pada 13 dan 15 Jun 2024, manakala peringkat suku akhir dan separuh akhir bakal dijalankan secara timbal balik.
Musim lalu menyaksikan JDT telah dinobatkan sebagai juara Piala FA 2023 setelah menundukkan KL City FC dengan keputusan 2-0 hasil jaringan jarak jauh Hong Wan dan juga ledakan berbisa Leandro Velazquez. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram