Cemerlang di Piala MFL, bintang muda Tok Gajah mahu terus gegar Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 16 Mei 2024

Pasukan kendalian Fandi Ahmad meraikan kemenangan pertama berdepan Kelantan Darul Naim FC. — Facebook/MFL

PEMAIN tengah Sri Pahang FC, Saiful Jamaluddin mengakui perjuangannya di pentas Piala MFL musim lepas berjaya menambat hati Ketua Jurulatih, Fandi Ahmad untuk berada di skuad utama dalam Liga Super 2024/2025.

Saiful yang juga kapten Sri Pahang Bawah 23 Tahun (B-23) musim lalu beraksi dalam 17 perlawanan kejohanan tersebut dan aksinya yang cemerlang berjaya meletakkan pemain berusia 22 tahun itu di pentas Liga Super untuk musim ini.

Jelasnya, musim lalu membuka banyak peluang kepada dirinya untuk membuktikan kemampuannya dan tidak menyangka Fandi memberi kepercayaan kepadanya membarisi kesebelasan utama dalam perlawanan pertama liga menentang Kelantan Darul Naim FC, Sabtu lalu.

BACA LAGI: 'Sistem 15 mata jadi kelemahan Thailand, beri peluang Malaysia julang Piala Dunia di laman sendiri'

BACA LAGI: Faisal Halim boleh jumpa anak dari jauh, sempat 'request' nasi ayam penyet

Saiful Pahang

Saiful (kiri) cemerlang bantu skuad Tok Gajah memperoleh kemenangan 1-0 ke atas Kelantan Darul Naim. — Facebook/MFL

Harapannya adalah agar lebih ramai pemain muda yang kini beraksi di pentas Piala MFL memiliki impian sama untuk cuba merebut tempat ke skuad utama dengan menampilkan prestasi terbaik di kejohanan itu.

“Tahun lepas memang rezeki saya apabila dapat banyak bermain untuk perlawanan di kejohanan Piala MFL, jurulatih pun nampak potensi saya waktu itu dan seterusnya memanggil saya untuk sertai skuad utama.

“Memang dari dulu saya dah pasang niat untuk beraksi di Liga Super dan saya harap kawan-kawan yang lain juga terus bersemangat untuk buktikan sesuatu di Piala MFL agar dapat diserap juga.

“Tapi banyak juga yang saya kena ubah terutamanya daripada segi permainan sebab kalau di Piala MFL corak permainan berbeza dan di Liga Super lebih laju,” jelasnya.

Menjelang aksi kedua Liga Super, Sri Pahang bakal berdepan Kuching City FC pada Ahad ini, dan dijangka pertembungan yang sengit antara dua kelab ini melihat kepada perkembangan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang kini lebih mantap.

Kuching City terdahulu berjaya menafikan hasrat kemenangan Kuala Lumpur City FC untuk meraih tiga mata selepas mencatat keputusan seri dalam pertembungan pertama Liga Super tempoh hari.

“Saya ada tengok juga aksi Kuching City masa lawan Kuala Lumpur City dan boleh nampak yang mereka semakin baik.

“Kita memang tidak boleh ambil mudah perlawanan ini dan perlu meneruskan momentum untuk raih tiga mata selepas ini”, jelasnya.

Sri Pahang meraih kemenangan pertama liga menerusi jaringan tunggal Manuel Hidalgo pada minit ke-64 perlawanan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang. — MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram