[VIDEO] ‘Bukan semua atlet dari keluarga senang’, KBS bantu atlet kayak parah diseret pemandu mabuk


  • Podium
  • Rabu, 15 Mei 2024

Siti Nurul Masyitah (kanan) cedera parah selepas dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu mabuk di Lebuhraya EDL, Johor pada Sabtu.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberi bantuan yang diperlukan oleh atlet kayak, Siti Nurul Masyitah Elias susulan dilaporkan cedera parah selepas dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu mabuk pada Sabtu.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, kementerian berkenaan sudah mengarahkan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) Johor untuk berhubung dengan keluarga mangsa dan menghulurkan bantuan yang sepatutnya kepada Nurul Masyitah.

"Bukan semua atlet dalam keluarga yang senang, macam pelajar (Nurul Masyitah). Kita (KBS) sudah mengarahkan jabatan KBS Johor untuk berhubung dengan keluarga dan hulurkan bantuan yang diperlukan. Kita minta doakan keselamatan dan akan bantu sebaik mungkin keluarga dan dia sepanjang rawatan," katanya selepas ditemui pada majlis 'Flag-Off’ dan Sidang Media Kayuhan Solo Mengelilingi Semenanjung Malaysia Bagi Latihan Pertama Ice Storm Russia Expedition 2025 pada Rabu.

BACA LAGI: [VIDEO] Atlet kayak Malaysia parah diseret 600m pemandu mabuk di Lebuhraya EDL

BACA LAGI: Kali terakhir dilihat naik kereta lelaki misteri, 3 gadis Ranau hilang tanpa jejak

Menurut Adam Adli, pihak KBS setakat ini masih belum menerima sebarang perkembangan terkini mengenai Siti Nurul Masyitah dan difahamkan sedang mendapatkan malumat terperinci mengenai atlet yang juga pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor.

Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (PPJKM) sebelum ini mengesahkan, mangsa ditimpa kemalangan di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) ketika dalam perjalanan menuju ke Southkey.

Menurut saksi beserta rakaman, sebuah kereta disyaki memandu dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum melanggar Siti Nurul Masyitah yang menunggang motosikal hingga terseret sejauh lebih 600 meter.

Persatuan itu turut memaklumkan, mangsa yang sering berulang-alik dari Politeknik Ibrahim Sultan ke rumah bagi menjalankan tanggungjawab menjaga ibu bapanya.

"Ibu mangsa mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan manakala bapa mangsa tidak sihat dan perlukan rawatan dialisis," jelas kenyataan dari PPJKM.

Untuk rekod, Siti Nurul Masyitah adalah pemenang pingat gangsa Sukan Sea 2023 melalui acara berkayak perahu naga kini sedang menerima rawatan di Hospital Columbia Asia di Iskandar Puteri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram