SELANGOR FC membuat kejutan buat penyokong apabila mengumumkan ketibaan penyerang import baharu, Reziq Bani Hani sebagai rekrut baharu mereka untuk membantu memperkasakan lagi Gergasi Merah menjelang musim baharu ini.
Ketibaan bekas pemain skuad kebangsaan Bawah 23 (B-23) tahun itu bagaimanapun terpalit dengan kontroversi apabila dikhabarkan Selangor FC sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk membawa masuk Reziq Bani.
Memetik laporan media tempatan Jordan, Selangor dikatakan membayar sejumlah wang kepada Al-Faisaly untuk menebus kontrak Reziq Bani yang difahamkan sebagai syarat untuk membeli pemain berkenaan.
Laporan berkenaan membuatkan sesetengah penyokong membuat spekulasi bahawa Selangor sanggup berbelanja sehingga kira-kira RM500,000 untuk melihat pemain berusia 22 tahun menyarung jersi Gergasi Merah.
Angka yang mencecah setengah juta ringgit itu semakin diperkatakan oleh penyokong apabila laman Transfermarket mendedahkan Selangor membayar kira-kira 150,000 euro (RM510,400) kepada Al-Faisaly.
Reziq Bani adalah pemain sesuai untuk menjadi penyerang sandaran kepada Ronnie Fernandez.
Namun, Ketua Pegawai Operasi, Selangor FC, Aladdin Mostafa menjelaskan bahawa Gergasi Merah hanya membayar kira-kira RM50,000 kepada majikan Reziq Bani.
"Selangor tak bayar setengah juta ringgit. Kami ada bayar small fee tapi tak sampai setengah juta ringgit, kami bayar dalam (RM) 50 ribu ringgit untuk tebus kontrak pemain berkenaan (Reziq Bani)," katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut mengenai kehadiran penyerang muda yang diumumkan pada saat akhir jendela perpindahan itu, Aladdin menjelaskan bahawa Reziq Bani bukanlah pilihan terakhir untuk mengisi kekosongan slot import Selangor.
Aladdin berkata, keputusan membawa masuk Reziq Bani dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama barisan jurulatih dan ahli lembaga pengarah kelab Selangor FC, selain turut mendapatkan cadangan ejen lantikan mereka.
BACA LAGI: Pengganti Hidalgo sudah ditemui, Kedah ambil pemain sayap Uzbekistan
"Cadangan dari ejen ada tapi akhirnya ia adalah keputusan komuniti. Keputusan komuniti bermaksud selepas mengadakan perbincangan bersama jurulatih, lembaga pengarah dan proses penilaian pemain ada proses.
"Ia adalah keputusan kolektif yang dibuat bersama. Pemain ini bukan last option Selangor kerana kami memang pertimbangkan sama ada nak ada backup pemain untuk slot import," tambahnya.
Reziq Bani menyertai Gergasi Merah selepas selesai menabur bakti selama hampir setahun bersama kelab Jordan, Al Faisaly SC dengan Selangor merupakan kelab luar negara pertama penyerang muda itu.
Untuk rekod, pemain berketinggian 1.79 meter itu sempat membantu pasukan Al-Faisaly dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) sekali gus memberikan kelebihan buat Gergasi Merah bagi menghadapi ACL 2 musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram