JENDELA perpindahan sebelum ditutup pada saat-saat akhir digunakan sebaiknya Selangor FC selepas membawa masuk pemain import baharu, Reziq Bani Hani bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan menjelang musim baharu ini.
Reziq Bani menyertai Gergasi Merah selepas selesai menabur bakti selama hampir setahun bersama kelab Jordan, Al Faisaly SC dengan Selangor merupakan kelab luar negara pertama pemain berusia 22 tahun berkenaan.
Kejutan saat akhir dari Selangor itu disambut baik oleh penyokong Gergasi Merah dengan rata-rata mereka menganggap kehadiran Reziq Bani adalah pemain sesuai untuk menjadi penyerang sandaran kepada Ronnie Fernandez.
BACA LAGI: Selangor FC sempat sambar bintang muda Jordan sebelum lawan JDT
Harapan penyokong untuk melihat Reziq Bani sebagai ancaman di bahagian serangan bukan setakat omong kerana pemain itu mempunyai profil yang agak cemerlang bersama pasukan lamanya, Al-Faisaly.
Untuk rekod, pemain berketinggian 1.79 meter (m) itu sempat membantu pasukan Al-Faisaly dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) sekali gus memberikan kelebihan buat Gergasi Merah bagi menghadapi ACL 2 musim ini.
BACA LAGI: Vincent Bezecourt ancaman besar Selangor sebelum bertemu JDT
Di sebalik sambutan hangat pemain berusia 22 tahun berkenaan ke kem Gergasi Merah, sesetengah penyokong menimbulkan persoalan mengenai cara Selangor mengikat kontrak Reziq Bani.
Memetik laporan dari media tempatan Jordan, Selangor difahamkan membayar sejumlah wang kepada Al-Faisaly untuk menebus kontrak Reziq Bani namun sehingga kini angka tersebut tidak didedahkan oleh kelab Lembah Klang berkenaan
Dengan profil mengagumkan bekas pemain kebangsaan Bawah-23 tahun Jordan berkenaan, ramai penyokong menimbulkan spekulasi bahawa Selangor FC sanggup pecah tabung sehingga RM500,000 untuk membawa masuk Reziq Bani.
"Min lupa nak beritahu ke yang kelab ini tebus kontrak sehingga 100 ribu USD (RM500,000). Apa-apa pun selamat datang ke Selangor FC," dakwa Mohamad Izwan Joni.
"Fuh hebat pemain ini, muda lagi. Siap main pasukan kebangsaan Jordan. Agak-agak berapa kena tebus kontrak ini," kata Kunung Kunung.
Namun, sehingga kini tiada pengesahan rasmi dari Selangor FC mengenai nilai tebus kontrak mengenai penyerang itu yang pernah dinobat sebagai Pemain Terbaik dan memenangi kejohanan Piala Donsti di Sepanyol bersama Jordan Knights pada usia remajanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram