[VIDEO] Terima kasih atas doa, kini saya bersedia — Akhyar Rashid


  • Podium
  • Selasa, 14 Mei 2024

Akhyar sudah membuatkan penyokong skuad Sang Penyu teruja akan kelibatnya. — Facebook/Terengganu FC

INSIDEN samun dialami pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid minggu lalu memberi kesan cukup mendalam terhadap isu keselamatan dalam arena bola sepak tanah air.

Dia yang diserang di tempat awam sekitar negeri Pantai Timur tersebut membuatkan penyokong mahu aspek keselamatan dititikberatkan kelab Liga Super agar perkara sedemikian tidak berulang.

Malah, ada juga yang gusar sekiranya serangan dialaminya itu akan membawa kesan buruk terhadap mentaliti pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) tersebut untuk kembali ke atas padang.

BACA LAGI: Selepas 2 musim, Terengganu FC perlu cari 'payung' baharu

BACA LAGI: Teka-teki pemain import TFC II akan diketahui

Namun, keazaman dimiliki pemain berusia 25 tahun tersebut tidak melunturkan semangatnya dengan dia sudah bersedia untuk kembali beraksi dalam Liga Super.

"Terima kasih kerana mendoakan saya selama ini dan keadaan saya sekarang ini, saya rasa sudah sembuh. Saya harap dapat berikan yang terbaik untuk Terengganu," katanya.

Sejak menyertai kelab Pantai Timur tersebut, Akhyar sudah menarik perhatian penyokong yang semakin teruja untuk menyaksikan aksi dan kelincahannya di atas padang.

Ini kerana pemain kelahiran Kedah itu sudah menunjukkan sinar baharu dalam jentera serangan Terengganu FC sepanjang diturunkan dalam tempoh pramusim.

Setakat satu perlawanan, pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner sudah berada di tangga kedua Liga Super berikutan kemenangan ke atas Perak FC pada Sabtu.

Gol daripada Nurillo Tukhtasinov dan Chukwu Chijioke serta jaringan sendiri Shivan Pillay memastikan tiga mata diraih Terengganu FC yang beraksi di laman sendiri.

Selepas ini, skuad Sang Penyu bakal berdepan Penang FC dalam pertembungan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram