RTM siar 61 aksi Liga Malaysia secara percuma


  • Podium
  • Sabtu, 11 Mei 2024

Sebahagian sesi latihan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang pastinya mahu meraih kemenangan setiap perlawanan Liga Super 2024.— Facebook/JDT

PEMINAT bola sepak tanah air pasti sudah tidak sabar menantikan kehangatan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024/2025.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku stesen penyiaran kerajaan sekali lagi mengambil inisiatif dan tanggungjawab menyajikan khalayak penonton setia RTM yang sangat dahagakan penampilan pasukan–pasukan kegemaran mereka dalam aksi terbaik Liga M.

Menerusi satu kenyataan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Sabtu, RTM membawakan liputan secara langsung sukan utama kegemaran rakyat Malaysia bagi menyokong dan meniup semangat ke arah menaikkan mutu sukan bola sepak negara.

BACA LAGI: [VIDEO] Hadiahkan kereta buat ayah antara 3 kebaikan 'tersorok' Faisal Halim

BACA LAGI: Bukan saja untuk Akhyar Rashid, TFC mahu menang demi Faisal Halim

WhatsApp Image 2024-05-11 at 09.48.17 (1)

Sebahagian sesi latihan pasukan Terengganu FC yang pastinya mahu meraih kemenangan menjelang perlawanan berdepan Perak FC bagi aksi pertama Liga Super 2024 pada Sabtu. — Facebook/TFC

Menariknya, RTM akan membawakan secara percuma liputan secara langsung keseluruhan 61 perlawanan melibatkan 52 perlawanan Liga Super, lapan perlawanan Piala FA dan perlawanan akhir Piala Malaysia menerusi saluran Okey dan Sukan RTM.

Selain itu, peminat bola sepak tanah air juga boleh menonton aksi menarik bola sepak Malaysia di mana-mana sahaja secara lebih selesa dengan penstriman langsung di RTMKlik.

Demi merancakkan siaran, RTM membariskan pengulas-pengulas sukan yang berwibawa dan panel undangan terpilih yang sangat berpengalaman serta pakar dalam bidang sukan bola sepak tanah air.

Di samping itu, pendekatan teknologi terkini dan kecerdasan buatan seperti Augmented Reality (AR) bakal digunakan sebagai pendekatan persembahan terbaharu khas sajian istimewa kepada penonton setia RTM.

Sepanjang musim 2024/2025, MFL akan menggunakan teknologi Video Assistant Referee (VAR) bagi kesemua perlawanan melibatkan 13 pasukan yang akan bersaing musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram