Selepas 2 musim, Terengganu FC perlu cari 'payung' baharu


  • Podium
  • Sabtu, 09 Dis 2023

Skuad Sang Penyu merupakan antara pesaing terbaik dalam kejohanan peringkat domestik musim ini. — Facebook/Terengganu FC

MESKIPUN tewas dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, Terengganu FC masih boleh berbangga dengan pencapaian mereka di peringkat domestik dan Asia musim ini.

Pasukan yang kini berada di tangga keenam Liga Super itu turut memberikan saingan cukup baik dalam Piala FA awal tahun lalu meskipun hanya menamatkan saingan di peringkat separuh akhir.

Dalam kejohanan Piala AFC pula, skuad Sang Penyu kini menjadi satu-satunya pasukan Asia Tenggara yang masih belum mengalami sebarang kekalahan dengan dua kemenangan dan tiga keputusan seri meletakkan mereka di tangga kedua Kumpulan G.

Reputasi mereka yang kini diangkat sebagai salah sebuah pasukan Liga Super terbaik dicapai dengan titik peluh serta kerjasama pelbagai pihak.

2326173

Skuad Sang Penyu memiliki reputasi cukup baik di pentas Asia musim ini. Facebook/Terengganu FC

Antara yang sepatutnya diberikan kredit ialah penaja utama mereka, TDC Holdings yang menyuntik dana bernilai jutaan ringgit kepada pasukan saban musim.

Meskipun jenama tersebut kurang dikenali ramai, sumbangan mereka sememangnya penting memandangkan nama salah sebuah produk syarikat berkenaan, Colever diabadikan di jersi utama pasukan untuk dua tahun berturut-turut.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Terengganu FC menerima satu perkhabaran mendukacitakan apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TDC Holdings, Hafiz Hiew mengumumkan mereka akan mengundur diri.

"Menang dan kalah itu adat permainan, yang penting sesama rakyat bersatu padu bersama-sama. Terima kasih Terengganu FC memberikan peluang bersama TDCforYou untuk kolaborasi selama dua musim ini yang bakal tamat bulan ini (Disember).

20220118182443_673e50c0c38255e088fbd2aa7b5085eb

TDC Holdings diumumkan sebagai penaja utama Terengganu FC pada 2022.

"Sekarang Terengganu FC sudah semakin mantap, tibalah masa TDC mengundur diri dan berikan peluang buat yang lain untuk menumpang (nama) Terengganu FC yang sudah semakin hebat," tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook peribadinya.

Pengumuman itu dibuat sebelum skuad kendalian Tomislav Steinbruckner bersaing dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada Jumaat, yang mana mereka tewas di tangan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Perkhabaran tersebut sekali gus memberi bayangan awal bahawa kelab Pantai Timur berkenaan perlu mencari penaja baharu yang mampu menyuntik dana diperlukan buat mereka pada musim-musim akan datang.

Tugasan berkenaan dilihat tidak menjadi satu masalah buat pasukan berkenaan yang menjadi antara kelab paling konsisten dalam saingan peringkat domestik untuk tahun-tahun kebelakangan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram