Bukan saja untuk Akhyar Rashid, TFC mahu menang demi Faisal Halim


  • Podium
  • Sabtu, 11 Mei 2024

Sebahagian sesi latihan skuad Sang Penyu yang pastinya mahu meraih kemenangan menjelang perlawanan berdepan Perak FC bagi aksi pertama Liga Super 2024 pada Sabtu. — Facebook/TFC

PASUKAN Terengganu FC sedia berjuang untuk mendapatkan tiga mata penuh menjelang aksi pertama berdepan Perak FC pada Sabtu dalam saingan Liga Super 2024 demi pemain sayap mereka, Akhyar Rashid.

Sebelum sepak mula di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, skuad Sang Penyu itu akan mengadakan solat hajat untuk Akhyar termasuk bintang Selangor, Faisal Halim yang menjadi mangsa serangan asid di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 5 Mei lalu.

Faisal yang juga bekas tonggak Terengganu musim 2021 itu kini berada di salah sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor, manakala Akhyar sedang menjalani rawatan di rumah.

BACA LAGI: Bukan ke JDT, GK Filipina akan bergabung dengan Dion Cools?

BACA LAGI: Tiada pemain kebangsaan tersenarai kejohanan di Indonesia — Kim Swee

WhatsApp Image 2024-05-11 at 09.48.17

Steinbruckner mengakui insiden-insiden tersebut sedikit sebanyak menjejaskan semangat anak buahnya menjelang sepak mula liga pada 11 Mei. — Facebook/TFC

Ketua Jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, anak buahnya sudah bersedia untuk perlawanan Liga Super pertama mereka walaupun terkesan dengan insiden samun yang menimpa Akhyar pada 2 Mei lalu.

“Memenangi perlawanan ini adalah penting. Kami mahu memulakan musim dengan tiga mata. Kami perlu melakukannya di laman sendiri dan juga untuk Aky (Akhyar).

"Bukan hanya Aky, tetapi juga untuk Faisal atau mesra dengan panggilan Mickey yang turut berdepan episod mengerikan.

“Akhyar memang penting untuk kita dan kita tidak boleh patah balik ke masa lalu. Saya sudah mempersiapkan pasukan walaupun tanpa Akhyar. Semangat yang ditunjukkan pasukan ketika ini baik dan walaupun tidak sempurna tanpa Akhyar, tetapi kami tetap teruskan perjuangan.

“Kami mahu menewaskan Perak dan kami perlu bersikap profesional. Yang pasti, kami tetap berwaspada selepas apa yang berlaku kepada Aky dan Mickey sebab kita tidak tahu apa akan berlaku selepas ini," kata Steinbruckner.

Menurut Steinbruckner, ketiadaan Akhyar akan dirasai tetapi sudah tiba masanya untuk melihat ke hadapan.

Ditanya mengenai situasi bilik persalinan, Steinbruckner mengakui moral merosot dalam pertemuan persahabatan terakhir mereka menentang Kelantan Darul Naim (KDN) tetapi keadaan berubah selepas Akhyar menunjukkan perubahan positif.

Difahamkan, pemain berusia 25 tahun itu dijangka akan diturunkan untuk perlawanan kedua liga menentang Penang FC di Stadium Bandaraya di George Town, Pulau Pinang pada 19 Mei nanti.

“Dalam perlawanan persahabatan terakhir kami menentang Kelantan, Aky tidak bersama kami dan ia juga merupakan perlawanan persahabatan pertama yang dia terlepas.

"Anda boleh lihat skuad Sang Penyu sedikit terganggu. Tetapi keadaan menjadi lebih baik sekarang selepas kami mendapat tahu bahawa dia semakin baik.

“Kami sentiasa berkomunikasi dengan polis dan pihak berkuasa mengenai apa yang perlu dilakukan. Saya percaya pemain berasa selamat sekarang," katanya. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram